Buletin

VOLKSWAGEN SEDIA PINDAH PENGELUARAN DARI KILANG JERMAN KERANA MASALAH GAS ASLI

Volkswagen sedia menimbangkan untuk memindahkan pengeluaran dari Jerman sekiranya masalah bekalan gas asli berlanjutan hingga tahun 2023.

Beberapa barisan model dari kilang Jerman serta Eropah Timur dilapor bakal dipindahkan ke kilang VW Group lain di Belgium, Portugal dan Sepanyol.

Seperti kebanyakan firma pembuatan Eropah utara, VW turut terkena tempias akibat tindakan Rusia yang mengehadkan eksport gas. Rusia ialah sumber utama gas di Jerman dan baru-baru ini memutuskan saluran paip Nord Stream 1 ditutup.

Penutupan yang pada mulanya bersifat sementara bagi membolehkan pelaksanaan pembaikan dibuat, kemudian dilanjutkan untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan.

Keputusan itu dipercayai sebagai satu langkah politik yang direka untuk menghukum negara barat kerana mengenakan sekatan ke atas Rusia berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Pembuat kereta itu mendakwa ia mungkin dapat mengekalkan pengeluaran untuk enam bulan akan datang jika Jerman terus mengisi rizab gasnya yang hampir 90 peratus penuh. Walau bagaimanapun, jumlah itu boleh jatuh secara drastik sepanjang musim sejuk.

Volkswagen telah pun berjanji untuk mengurangkan penggunaan gas sekurang-kurangnya 20 peratus seperti ditetapkan oleh kerajaan Jerman.

Volkswagen juga menyatakan kebimbangan mengenai keupayaan pembekal untuk mengendalikan kenaikan harga tenaga. Ia dilihat berpotensi memberi kesan kepada pengeluaran dan mungkin menghentikan barisan pengeluaran mereka.

Google ads
Back to top button