
VOLKSWAGEN TIGUAN 2.0 TSI R LINE ALLSPACE, MEYAKINKAN DALAM HUJAN
Seingat penulis, Mekanika telah menghasilkan satu video pandu uji Volkswagen Tiguan R Line pada bulan Disember 2020. Ketika wakil Volkswagen Passenger Car Malaysia menawarkan Tiguan untuk pandu uji, penulis rasa agak pelik kerana kenapa perlu dipandu uji sekali lagi
Rupa-rupanya penulis yang silap kerana VPCM sekali lagi telah melancarkan versi terbaru Tiguan R Line Allspace yang dinaiktaraf pada bulan Mac 2022. Sebenarnya boleh dikatakan proses naiktaraf ini bukan sekadar proses menukar logo rasmi yang baru, tapi melibatkan banyak komponen lain.
Antara perubahan yang dibuat oleh VPCM pada Tiguan R Line Allspace yang terbaru termasuklah:
1. Rekaan depan Volkswagen yang baru – rekaan depan terutama di bahagian jeriji atas dan jeriji bawah untuk bampar depan menerima kemasan baru bagi menyeragamkan rekaan semua produk Volkswagen.

Sama seperti Passat, Golf dan Arteon, bampar bawah menerima frame pada bahagian bampar. Lampu depan juga menerima lampu IQ LED terbaru dengan rekaan yang lebih runcing, DRL LED rekaan baru serta lampu isyarat membelok dengan ciri sequential
2. Dari bahagian sisi, ia menerima rim terbaru rekaan Valencia bersaiz 19 inci dan dibalut dengan tayar Pirelli Scorpion Verde 235/45 R19.
3. Bahagian belakang menerima lampu belakang iQ Light LED yang menghasilkan animasi lampu LED unik ketika enjin dihidupkan, isyarat membelok dengan sequential, bampar bawah dengan kemasan ekzos palsu, pemantul lampu dipasang melintang di bampar serta pintu ruang kargo yang boleh dibuka dengan sensor kaki

4. Roda stering menerima rekaan baru yang nampak lebih sporti dan dibalut dengan kemasan kulit berlubang pada kedudukan kiri dan kanan. Ia menjadikan stering sedap digenggam terutama untuk tangan penulis yang mudah berpeluh selain bahagian bawah dipotong dengan rata
5. Tombol gear 7 kelajuan DSG juga menerima rekaan terbaru dengan lettering atau huruf yang menunjukkan kedudukan gear dicetak pada bahagian atas tombol. Ia nampak lebih kemas terutama pada waktu malah dengan sinaran lampu LED
6. Suis penyaman udara dengan kaedah butang dan rotari digantikan dengan suis digital sentuhan sepenuhnya. Ia menjadikan kabin nampak lebih moden dan kemas walaupun pada hemat penulis, suis mekanikal sebenarnya lebih baik untuk dioperasikan ketika memandu.

7. Berbeza dari versi sebelum facelift, Tiguan R Line Allspace dipasang dengan sistem multimedia Discover Pro 9.2 inci serta 10 pembesar suara dari jenama Harman Kardon yang menghasilkan 480 watt. Sistem ini membenarkan sambungan kepada Apple Car Play dan juga Android Auto tanpa wayar
8. Tiguan juga dilengkapkan dengan penyaman udara 3 zon, kusyen penumpan depan dan pemandu siap dengan kipas penyejuk, pengecaj tanpa wayar, 4 poin USB dari jenis C, 2 poin soket 12 volt, lampu suluh terbina dalam di ruang kargo, corong penyaman udara di barisan kedua dan semua kusyen di bahagian belakang boleh disusun dan dilipat secara individu
9. Disebabkan varian ini dinamakan sebagai R Line, maka ia disematkan dengan lencana R Line di bahagian luar, balutan kusyen, pedal minyak dan brek aloi aluminium, dan juga scuff plate di bahagian pintu
Bagi model R Line, ia masih mengekalkan enjin EA888 2000cc 4 silinder dengan teknologi turbo, suntikan bahan api terus, dan pemasaan injap bagi menghasilkan 217 kuasa kuda pada 4500 RPM. Tork maksima 350NM pula datang seawal 1500 RPM, sangat membantu bagi menggerakkan crossover seberat 1680kg ini.

Di atas kertas, gandingan kuasa enjin dan transmisi DSG 7 kelajuan berupaya memastikan pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 6.8 saat dengan halaju maksima pada 223km/jam. Ujian yang dibuat oleh penulis membuktikan angka ini boleh dicapai, satu perkara yang menakjubkan bagi sebuah crossover 7 tempat duduk yang bersaiz sederhana
Dari segi dimensi panjang Tiguan ialah 4726mm, lebar 1859mm dan tinggi 1685mm. Jarak antara roda pula direka pada 2789mm, cukup untuk penumpang barisan ketiga bersaiz dewasa bagi perjalanan jarak dekat dengan kapasiti ruang kargo sebesar 230 liter
Anda boleh menggandakan ruang kargo menjadi 700 liter bila kusyen barisan ketiga dilipat atau menjadi sebesar 1775 liter dengan melipat kusyen barisan kedua bersama-sama. Jika anda perlu mengusung basikal kembara anda ke lokasi, lipat saja kusyen, lapik dengan kertas kotak dan anda tak perlu beratur dengan lori di lorong pembayaran tol di lebuh raya. Leceh kan

Ada 6 mode yang disediakan untuk pemandu samaada Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual ataupun Offroad. Bagi kebanyakan masa, penulis akan menggunakan mode Comfort ketika memandu samaada di lebuh raya ataupun di jalan bandar.
Mode ini akan memastikan talaan stering, penyerap hentak, kuasa enjin dan penukaran gear dibuat selancar dan paling selesa. Kuasa yang dihasilkan pada mode ini sudah cukup. Sebaik sahaja anda duduk di kusyen pemandu, anda akan perasan Tiguan adalah sebuah kenderaan yang cukup selesa berbanding sedan
Kusyen menawarkan sokongan dan keselaan yang lebih baik berbanding dengan sedan, apatah lagi ia dipadankan dengan penyerap hentak yang lebih panjang (long travel suspension) menjadikan perjalanan jauh terasa mewah dan tidak meletihkan.

Dalam aspek bunyi, gegaran dan juga kekasaran yang ditebat baik oleh platform MQB ini. Jarang sekali pergerakan roda dan komponen mekanikal suspensi menerjah masuk dalam kabin sewaktu di lebuhraya, kecuali jika anda memandu laju di atas bonggol jalan. Kadar bunyi ialah 59dB pada halaju 110km/jam
Input utama kawalan cesi seperti stering adalah tangkas seperti sedan Volkswagen yang lain membantu anda memandu sedikit laju dalam keadaan selesa dan meyakinkan. Tekan sahaja pedal minyak, Tiguan akan meluncur laju dengan sistem suspensi yang selesa tapi masih lagi terasa solid.
Tekan sahaja brek, brek cakera depan dan belakang yang dipasang akan memastikan platform MQB ini berhenti dan dikawal dengan mudah ibarat anda memandu sebuah kereta kompak yang ringan. Pendek kata aspek ride (keselesaan) dan juga handling (kawalan cesi) adalah seimbang antara satu sama lain
Selain menggunakan suspensi topang McPherson di roda depan dan MultiLink untuk roda belakang, Tiguan juga diberikan teknologi pacuan semua roda 4Motion bagi tujuan offroad manja-manja. Sebab itulah Tiguan diberikan mode pemanduan offroad dengan 4 pilihan samaada Snow, Offroad Auto dan juga Offroad Custom

Untuk memudahkan pemahaman anda, penulis ringkaskan ciri mode pacuan semua roda 4Motion seperti berikut:
1. Mode Salji : transmisi akan menukar gear dengan cepat bagi memastikan operasi enjin adalah rendah dan mengelakkan terlalu banyak kuasa dihantar pada tayar sehingga tayar hilang cengkaman
2. On Road : ada pilihan ECO, Normal, Comfort, Sport dan Individual
3. Offroad Auto : semua kawalan cesi akan dihidupkan bagi memastikan cesi Tiguan sesuai untuk pemandu offroad termasuk enjin, transmisi, kawalan stering, brek, dan menghidupkan ciri Hill Decent Control secara automatik
4. Offroad custom : kalau anda dah pandai, ubah sendiri paramater yang anda mahu
Sewaktu mula-mula memandu uji Tiguan, hujan memang lebat melanda Lembah Klang dan sepanjang 150km perjalanan pulang. Penulis mengaktifkan mode Snow dan Tiguan membelah laluan berair dengan selamba dan meyakinkan.
Pacuan semua roda, tayar Pirelli Verde dan berat hampir 1.7 tan memang magik dalam mencari cengkaman dalam hujan. Ia menjadikan seolah-olah masalah aquaplaning tidak wujud bagi Tiguan. Ia memang sebuah crossover yang selesa untuk dipandu jauh.

Salah satu aspek kebaikan bila ia digunakan untuk pemanduan jarak jauh ialah penggunaan petrol yang efisyen. Volkswagen memberikan data bacaan purata sekitar 11.6km bagi setiap liter petrol dan bacaan sebenar yang diperolehi oleh penulis ialah sekitar 10.5km bagi setiap liter petrol.
Ia adalah bacaan yang adil dan menusabah memandangkan berat Tiguan mencecah 1.7 tan, menggunakan pacuan semua roda sepanjang masa dan diberikan enjin yang berkuasa. Malah sistem akan mengingatkan anda agar sentiasa menghidupkan ciri Start/Stop, menutup tingkap jika memandu melebihi 90km/jam atau jangan membuka tingkap jika menggunakan penyaman udara.
Dari aspek keselamatan, Tiguan datang dengan 6 beg udara, sistem kawalan kestabilan elektronik, 2 cagak ISOFIX, sistem peringatan pada pemandu agar berehat dan juga Lane Assist System. Tapi sayang ia tidak menawarkan brek kecemasan automatik, sistem amaran titik buta dan juga sistem amaran lintasan belakang
Tiguan adalah sebuah crossover yang panjang, tinggi, dan lebar. Penulis sangat menghargai jika ia datang dengan sistem amaran titik buta kerana penunggang motosikal di Malaysia adalah seperti ninja, mereka boleh muncul dengan tiba-tiba di belakang anda.

Ada 2 varian yang ditawarkan iaitu 1.4 TSI Elegence yang ditawarkan pada harga RM 175,000 atau 2.0 TSI R-Line dengan harga RM 220,000. Dari segi rekaan, ia menawarkan ruang yang lebih besar, jara kelegaan bumi yang lebih baik bagi mencabar permukaan bumi yang tidak rata dan juga keselesaan yang lebih baik
Tapi janganlah anda pandu Tiguan masuk ke hutan mengikut laluan lori balak kerana keupayaan sistem pacuan semua roda 4Motion ini terhad kepada offroad yang manja-manja sahaja. Tapi ia adalah sebuah crossover yang memuaskan hati dari segala aspek, baik dari segi kuas, selesa dan juga kalau perlu boleh memuatkan 7 penumpang dalam satu masa.