Buletin

AUDI A6 FACELIFT– BERMULA RM325,000

Audi Malaysia baru-baru ini melancarkan model terkini Audi A6 sedan. Didatangkan dalam varian 1.8 TFSI dan 3.0 TFSI quattro, Audi A6 telah menerima proses naik taraf yang mengagumkan.

Audi-A6-facelift-mekanika (6)

Diperkenalkan pada tahun 1968, Audi A6 pada asalnya dikenali sebagai Audi 100. Sudah memasuki generasi ketujuh, Audi A6 nyata menjadi model penting Audi sejak sekian lama.

Model terbaru ini dipasang dengan gril Singleframe yang lebih lebar. Di samping bampar, skirt sisi, lampu belakang dan lampu utama LED yang baru.

Audi-A6-facelift-mekanika (2)

Penambahbaikan Audi A6 tidak terhad pada aspek kosmetik sahaja. Menerusi pengabungan pelbagai komponen aluminium dan kerangka lebih ringan, ia menjanjikan kualiti pemanduan yang mantap.

Jentera itu ditawarkan dua pilihan enjin. Anda boleh memilih enjin 1.8 TFSI berkuasa 190hp dan tork 320Nm atau enjin 3.0 TFSI V6 (333hp dan tork maksimum 440Nm). Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear S tronic tujuh kelajuan automatik.

Audi-A6-facelift-mekanika (10)

Sama seperti semua model Audi, Audi A6 turut dilengkapi pelbagai sistem keselamatan. Antaranya ialah Electronic Stabilisation Control (ESC), Traction Control (ASR), Electronic Brake Force Distribution (EBD), Electronic Differential Lock (EDL), ABS, enam beg udara pada Audi A6 1.8 TFSI dan lapan beg udara (A6 3.0 TFSI).

Di bahagian kabin, Audi A6 1.8 TFSI dipasang engan sistem audio MMI® standard plus. Ia merangkumi sebuah skrin interaktif bersaiz 6.5-inci dan sistem bunyi enam saluran amplifier Audi dengan 10 unit pembesar suara.

Audi-A6-facelift-mekanika (12)

Sistem MMI® navigation plus dengan sistem sentuh MMI® pada Audi A6 3.0 TFSI pula terdiri daripada sistem infotainmen modular bersama skrin bersaiz lapan inci. Ia kemudian digabung dengan sistem bunyi Bose surround sound 12-channel amplifier dan 14 unit pembesar suara.

“Pengenalan A6 di Malaysia mengukuhkan lagi komitmen Audi Malaysia untuk membawa produk yang kompetitif,” kata Pengarah Urusan Audi Malaysia, Immo Buschmann.

Audi-A6-facelift-mekanika (9)

Audi A6 boleh didapati dalam 13 warna pilihan seperti putih, hitam, kelabu biru dan merah.

Tempahan untuk unit terhad Audi A6 sudah boleh dibuat di semua pengedar sah Audi mulai 25 Ogos 25 lalu. Harga Audi A6 1.8 TFSI bermula dari RM324,900 manakala  Audi A6 3.0 TFSI dijangka bermula bawah RM500,000 seunit.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button