
VIDEO AKSI KEJAR MENGEJAR PALING SENDU DI DUNIA – SEPASUKAN POLIS DAN SEBUAH TRAKTOR
Aksi kejar mengejar antara polis dan penjenayah memang cukup popular di laman Youtube. Ia biasa disusuli dengan aksi-aksi mendebarkan yang biasanya hanya boleh ditonton dalam filem. Aksi kali ini pun boleh tahan juga hebatnya. Ia melibatkan sebuah traktor John Deere yang dikejar sepasukan anggota penguatkuasa di Boone, North Carolina.

Menurut bilik kawalan 911 Watauga County, satu laporan diterima tentang seorang lelaki yang memandu traktor cuba untuk melanggar pejalan kaki dan kenderaan di Highway 421. Kuat main GTA agaknya mamat ni.
Sebaik menerima laporan sepasukan polis dari Boone dan timbalan sheriff Watauga segera bertindak. Mereka kemudian menerima lebih banyak laporan tentang traktor terbabit yang melanggar beberapa buah kenderaan.
Polis kemudiannya menemui suspek Ronnie K. Hicks, 43 di kawasan letak kereta gereja Three Forks Baptist. Hicks dilihat menolak sebuah lori sampah ke dinding bangunan gereja sebelum melarikan diri sambil dikejar oleh pegawai polis.
Pasukan keselamatan mengejar Hicks melalui US Highway 421, Old Highway 421 dan Elk Creek Road sambil menyuraikan trafik untuk mengelakkan kemalangan. Hicks memandu ke kiri dan kanan lebuhraya untuk mengelak daripada ditahan.
Sekurang-kurangnya 4 buah kenderaan dirosakkan Hicks termasuklah sebuah kereta peronda Ford Explorer dengan kerugian dianggarkan bernilai ribuan dollar.
Polis menggunakan perangkap berpaku untuk menghentikan kejar mengejar tetapi gagal. Mereka berjaya membocorkan kedua-dua tayar hadapan traktor tapi ia masih bergerak. Bila kejar-mengejar mula menghampiri kawasan sekolah pihak berkuasa mula bimbang dengan keselamatan awam dan kelulusan diberikan untuk menembak tayar traktor tersebut.
Polis menembak kedua tayar belakang traktor menggunakan raifal sekaligus memperlahankan pergerakannya. Sebaik memasuki jalan persendirian, Hicks meninggalkan traktor dan cuba melepaskan diri dengan berlari. Beliau berjaya ditumpaskan dengan senjata renjatan bila cuba menyerang polis dengan pisau.
Hicks berjaya diberkas dan dikenakan dengan pelbagai pertuduhan antaranya curi traktor, cubaan melarikan diri, memandu dengan cuai, merosakkan harta awam dan macam-macam lagi.
Dengan penangkapan Hicks berakhirlah drama kejar mengejar paling sendu dengan kelajuan yang tidak 30 kilometer sejam!