AUDI E-TRON GT DAN RS E-TRON GT SAH TIBA DI MALAYSIA TAHUN 2023. BERAPAKAH HARGANYA NANTI?
Sama ada kita sedar atau tidak, pengguna di Malaysia sebenarnya mempunyai banyak pilihan kereta elektrik (EV) untuk dibeli.
Bergantung kepada bajet dan keperluan, anda boleh memilih daripada jenama China seperti ORA Good Cat atau BYD, Korea (Hyundai dan Kia), selain jenama premium seperti Volvo, Mercedes-Benz dan BMW.
Nampaknya, pilihan tersebut akan terus bertambah tahun hadapan apabila PHS Automotive Malaysia (PHSAM) yang bertanggungjawab ke atas jenama Audi di Malaysia bakal membawa masuk model elektrik iaitu e-tron GT dan RS e-tron GT ke pasaran tempatan pada separuh pertama tahun depan.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengarah Urusan PHSAM, Erik Winter dalam satu temubual eksklusif dengan Mekanika Malaysia.
“Kami akan membawa masuk model e-tron ke pasaran Malaysia yang menjadi sebahagian penting dalam usaha penjenamaan Audi di sini,” kata Erik.
Melihat kepada spesifikasi, e-tron GT dan RS e-tron GT merupakan jentera dengan pacuan semua roda kerana ia menggunakan dua unit motor elektrik. EV berkenaan juga berkongsi bateri lithium ion dengan kapasiti sama iaitu 85kwh. Pek bateri berkenaan membolehkannya bergerak sehingga 487km dengan sekali caj.
e-tron GT menawarkan kuasa 476PS (350kW) yang boleh ditingkatkan menjadi 530PS jika menggunakan ciri Launch Control. Kuasa tork serta-merta mencecah 640Nm membolehkan EV berkenaan memecut dari 0-100km/j dalam masa hanya 4.1 saat dan top speed pula dihadkan kepada 245km/j.
Kalau hendak lebih kuasa, ambil sahaja RS e-tron GT. Sebagai model RS, ia mampu menyediakan kuasa 598PS dan trork 830Nm. Tempoh memecut 0-100km/j juga lebih singkat iaitu 3.3 saat sahaja.
Dibina di atas platform 800 volt, e-tron GT boleh menyokong pengecasan pantas (DC) sehingga 270kW dan pengecasasn AC 22kW.
“Baru-baru ini Audi ada memperkenalkan model Q8 e-tron dan e-tron Sportback. Model ini juga akan dibawa masuk ke Malaysia. Jadi, kami akan mempunyai model EV yang lengkap di Malaysia menjelang suku kedua 2023 melibatkan model Sportback, SUV, Gran Turismo (GT) dan RS GT,” kata Erik lagi.
Untuk makluman, Kumpulan Volkswagen sebenarnya mempunyai jenama penyelesaian pengecasan sendiri. Namun, masih belum ditentukan sama ada jenama itu akan tiba di Malaysia dan pihak PHSAM sedang membuat kajian mengenainya.
Buat masa sekarang, sistem pengecasan berkenaan sudahpun di gunakan di Jerman, Austria, Portugal dan beberapa buah negara di Eropah Timur.
Penyelesaian pengecasan itu memerlukan banyak penelitian kerana ia akan melibat banyak aspek seperti persijilan dan perkakasannya. PHSAM juga sedang menimbang untuk menawarkan kotak pengecasan di rumah (wallbox) kepada pelanggan, tetapi semua itu masih belum diputuskan lagi.
Erik menegaskan bahawa pasaran EV kini sedang dicipta dan pengguna sudah pun melepasi fasa tidak ambil tahu kerana elektrifikasi akan tiba sama ada kita suka atau tidak. Buktinya, banyak negera terutama di Eropah sudah pun menetapkan tempoh akhir penjualan kereta pembakaran dalaman.
Sebagai contoh, Norway dan Sweden sangat ke depan dalam peralihan kepada EV. Kumpulan Volkswagen sendiri telah menetapkan sasaran tidak lagi menjual kenderaan ICE menjelang tahun 2033 di Eropah.
“Malah banyak syarikat kenderaan elektrik dari China mula memasuki pasaran Eropah, termasuklah Malaysia. Sudah tentu untuk pasaran Malaysia, kami akan berdepan dengan banyak cabaran terutama dari segi rangkaian kemudahan pengecasan.
“Namun, saya yakin bahawa dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, landskap mobiliti elektrik di Malaysia akan berubah sepenuhnya,” jelasnya.