
HONDA FORZA 250 2023 BERADA DI PASARAN JEPUN, HARGA BERMULA RM22K
Honda Motor Jepun melancarkan skuter Honda Forza 250 2023 di negara Matahari Terbit pada 22 Disember ini.
Honda Forza 250 2023 mendapat kemas kini dari sudut rekaan dan spesifikasi selain datang dengan dua pilihan warna iaitu pearl smoky gray serta matte gunpowder black metallic.
Dari segi rekaan, ia adalah sama seperti model Honda Forza 350 2023 yang dilancarkan di pasaran Thailand, beberapa bulan lalu.
Set roda yang digunakan adalah bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang) berserta sistem brek cakera tunggal depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Perubahan paling ketara adalah menyaksikan bahagian depan kini menggunakan unit lampu berkembar selain bahagian panel badan dan belakang kelihatan berubah namun ia masih menampilkan ciri Honda Forza yang mewah dan elegan.
Walau bagaimanapun, Honda Forza 250 2023 masih menggunakan gabungan analog dan digital, iaitu berbeza dengan pesaing terdekat, Yamaha XMax 250 2023, menggunakan TFT berwarna lengkap dengan sambungan telefon serta navigasi.
Honda Forza turut mendapat ciri-ciri seperti Honda Selectable Torque System (HSTC), Sistem Kunci Pintar Honda, Pengecas USB serta visor angin boleh laras elektrik dikekalkan.
Melengkapkan lagi ciri-ciri Honda Forza 250 2023, ia turut disertakan dengan sistem Emergency Stop Signal (ESS), sistem lampu LED penuh termasuk lampu DRL, ruangan bawah pelana luas yang mampu memuatkan dua helmet dan kapasiti tangki bahan api 11 liter.
Honda Forza 250 2023 dikuasakan oleh enjin eSP+, 249 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang dipadankan dengan transmisi automatik V-Matic. Enjin ini menghasilkan 22Hp pada 7,750 rpm dan tork 24 Nm pada 6.250 rpm.
Honda Forza 250 2023 dijual pada harga 691,900 yen (RM22,154) termasuk cukai pengguna sebanyak 10 peratus.
GALERI:
















