
AUDI RS 3 SEDAN MUNCUL DI VOLKSWAGEN FEST 2022. 401HP, BERMULA RM650K
Sudah dibuka untuk tempahan dan bakal dilancarkan tidak lama lagi ke pasaran tempatan, Audi RS 3 Sedan kini boleh anda lihat secara dekat pada acara Volkswagen Fest 2022 yang berlangsung sepanjang hujung minggu ini di Sentul Depot, Kuala Lumpur.
Hadir dalam warna hijau terang, jentera berkuasa tinggi itu nyata menyerlah dengan kemasan khas RS yang terdiri daripada kit badan, RS Torque Splitter, suspensi RS Sport dan banyak lagi.
Wajah RS 3 Sedan nyata garang dengan gril Singleframe bersaiz besar yang hadir dalam warna hitam berkilat. Imej sporty itu diperkemaskan lagi dengan sepasang lampy nipis dan corong kemasukan udara yang juga berwarna hitam berkilat.

Bahagian belakang pula dibezakan menerusi ekzos berkembar, spoiler, serta kemasan bawah bampar dan peresap udara berwarna hitam. Sedan itu turut dipasang dengan perumah cermin sisi gentian karbon dan rim dua tona bersaiz 19 inci.
Ruang kabin RS 3 Sedan memang sporty dengan skrin Audi Virtual berukuran 12.3 inci, meter digital sepenuhnya 10.1 inci, paparan head-up bersama paparan grafik RS khas dan paparan info penting untuk sebuah kereta berprestasi tinggi.

Tempat duduk kulit dijahit dengan benang hijau, lengkap dengan cetakan RS pada penyandar badan.
RS 3 Sedan menggunakan khidmat enjin 2.5 liter TFSI berkuasa 401hp dan 500Nm yang dipadankan dengan kotak gear klac berkembar S-Tronic 7 kelajuan. Padanan itu membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.8 saat dan mencatat kelajuan maksimum 250km/j (290 km/j denga pakej RS Dynamic).
Berminat? Anda boleh memiliki sebuah RS 3 Sedan pada harga bermula RM650,000 hingga RM750,000 sahaja.
GALERI



























