AUDI FOKUS JADI JENAMA ULTRA PREMIUM DI MALAYSIA. CUBA DULU, BARU TAHU…
Dalam lawatan ke Jerman baru-baru ini, saya berpeluang menemubual Pengarah Urusan PHS Automotive Malaysia (PHSAM), Erik Winter untuk bertanyakan tentang rancangannya terhadap jenama Audi di Malaysia.
Sedia maklum Audi bukanlah jenama yang baru di negara ini. Biarpun begitu, selepas bertukar tangan beberapa kali, Audi dilihat agak tenggelam berbanding jenama mewah dari Jerman yang lain.
Pastinya, itulah antara cabaran besar yang perlu dipikul oleh Erik bersama PHSAM yang merupakan anak syarikat milik penuh pakar automotif Eropah, Porsche Holding Salzburg (PHS).
Menurut Erik, beliau sedar Audi perlu kembali popular kerana ia mempunyai ramai peminat setia dan potensi yang bagus di Malaysia.
“Audi akan memberi fokus untuk menjadi satu jenama ultra premium yang memberi penekanan terhadap aspek sporty menerusi varian s-Line, quatro, RS dan eletrifikasi. Kami akan cuba untuk menawarkan sebanyak munkin model sedia ada Audi, tetapi dalam varian tertinggi seperti s-line, quattro, RS dan model elektrik,” kata Erik optimis.
Ditanya apakah cabaran terbesar kepada PHSAM, beliau memberitahu cabaran paling besar adalah untuk membuatkan pelanggan membiasakan diri dengan keunikan dan berminat dengan jenama Audi.
“Saya harap apabila menyebut nama Audi, persepsi dalam kalangan rakyat Malaysia ialah ia merupakan jenama mewah dari Jerman yang fokus kepada aspek sporty. Selain mempunyai warisan yang panjang dalam perlumbaan bermotor dan pacuan empat roda iaitu quattro,” katanya lagi.
Jika dibuat perbandingan, kenderaan sememangnya Audi ditawarkan pada harga yang lebih tinggi berbanding pesaing lain terutama Mercedes-Benz dan BMW.
Sebabnya ialah Audi fokus kepada kelompok pelanggan yang sangat niche, iaitu individu yang mahu sebuah kereta mewah dan lebih menonjol. Itulah pelanggan yang akan membeli sebuah Audi, lengkap dengan pakej s-line atau model RS.
Untuk makluman, pasaran kenderaan mewah yang niche di Malaysia hanya sekitar 4,000 hingga 5,000 unit sahaja setahun.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Audi kini mempunyai tiga pengedar (dua di Lembah Klang, satu di Juru) dan satu pusat servis di Ipoh. Keutamaan dalam rangkaian ini buat masa sekarang adalah untuk meningkatkan kecekapan kakitangan teknikal dan selepas jualan.
Sebab itulah PHSAM mempunyai akademi sendiri bagi memastikan semua kakitangan mempunyai kelayakan sewajarnya untuk menyelenggara kenderaan Audi. Ia akan mengadakan satu inisiatif baharu untuk meningkatkan tahap kesetiaan pelanggan dengan memberi ganjaran kepada pemilik kenderaan Audi yang membawa kenderaan mereka untuk diservis.
“Rakyat Malaysia harus mencuba kenderaan Audi kerana ia merupakan satu jenama yang unik, menawarkan pengalaman pemanduan berbeza, mempunyai warisan mengagumkan merangkumi perlumbaan, rali dan akan menyertai saingan F1 pada musim depan.
“Sasaran jualan untuk tahun depan? Lebih daripada tahun ini,” jawab Eric sambil tersenyum.