Buletin

AUDI QUATTRO TURBO – KERETA ISTIMEWA UNTUK ACARA ISTIMEWA!

Katalah ada pameran kenderaan, ada Ferrari, Lamborghini, McLaren dan kemudian Audi Quattro Tubro klasik diparkir sebelah. Model manakah yang menarik perhatian anda? Atau model manakah yang membuatkan hati anda berdebar-debar bila mendekatinya?

Untuk sesetengah orang, Audi Quattro menjadi jawapan.

Bukan menafikan kehebatan kereta buatan Itali atau Britain tetapi Audi ini mempunyai sejarah dan nostalgia hebat yang datang dari perlumbaan rali.

Walaupun telah berusia lebih dari pada tiga dekad, Audi Quattro Turbo tetap diminati dan masih diburu penggemarnya.

Sekali sekala Audi Quattro Turbo dikeluarkan daripada bilik rehatnya dan jika bernasib baik ditawarkan untuk dijual.

Ini ada satu unit yang ditawarkan untuk dibida oleh Classic Car Auctions (CCA) pada 16 September 2018 Warwickshire Event Centre. Unit tahun 1984 berwarna perak ini pernah disiarkan dalam rancangan automotif CAR S.O.S di saluran BBC dan National Geographic.

Bidaan ini bukan untuk meraih keuntungan tetapi bagi mengumpul dana untuk badan kebajikan Macmillan Cancer Support dan Mesothelioma UK Trust.

Quattro Turbo ini adalah milik Barry Hollamby yang telah meninggal dunia pada 2016 selepas lama menghidapi penyakit barah. Sumbangan kepada dua badan kebajikan adalah hasrat Barry sendiri.

Beliau adalah pemilik Audi Quattro Turbo 2.1L 10V ini selama 14 tahun dan sejak 1984 kereta ini sudah bertukar tangan sebanyak lima kali. Walaupun sudah berusia, kereta ini hanya digunakan sebanyak 154,497 km sahaja.

Cerita di sebalik kereta ini agak sedih sebenarnya. Semasa ia disiarkan dalam rancangan Car S.O.S di saluran 4 BBC, Barry berada dalam keadaan uzur dan beliau tidak dapat membaik pulih kereta ini sendiri.

Pengacara rancangan iaitu Tim Shaw dan Fuzz Townsend kemudian mengambil alih kerja tersebut sehingga siap. Selepas sempurna, Audi ini dikembalikan semula kepada Barry bersama keluarganya dan ia berlangsung dalam suasana yang emosional.

Audi Quattro Turbo 1984 yang istimewa ini dijangka bakal dibida pada harga di antara GBP 20,000 (RM 107,091) hingga GBP 25,000 (RM 133,859).

Berapa pun jumlahnya, yang penting niat murni oleh pemiliknya bakal terlaksana. Kereta yang istimewa untuk acara istimewa.

BACA: AUDI A6 AVANT – CONTOH REKA BENTUK TIDAK PERLU DRAMA SANGAT

Google ads
Back to top button