
AXIA 2023 D74A PAKAI ENJIN TURBO? IA SUKAR UNTUK DILAKUKAN
Khabar angin kuat mengatakan yang Perodua Axia serba baru akan dilancarkan pada tahun depan, kemungkinan besar dalam suku pertama tahun 2023. Unit ujian dikhabarkan telah siap menjalani ujian pemasangan yang terakhir sebelum diberi lampu hijau untuk proses pengeluaran besar-besaran (mass production)
Walaupun pada awalnya Perodua Axia D74A ini dikatakan bakal menerima enjin 1000cc 3 silinder turbo sama seperti yang digunakan oleh Perodua Ativa, namun berdasarkan pengiraan logik akal dan strategi jualan, maka idea untuk meletakkan enjin 1KR-VET turbo sukar untuk direalisasikan.
Bagi model Perodua Ativa, enjin 1000cc 3 silinder turbo ini menjana sehingga 97 kuasa kuda dan 140Nm tork seawal 2400 RPM. Secara teori, jika enjin ini dipasang pada Perodua Axia D74A dengan anggaran berat 900kg memang boleh memberikan satu pengalaman yang mengujakan
Jika anda pernah membuka ruang enjin Perodua Ativa, anda akan perasan yang blok enjin 1KR-VET memang sangat kecil dan terdapat ruang kosong yang besar antara enjin dan juga cesi Ativa. Dari atas kertas sebenarnya, anda boleh memuatkan enjin Ativa ini ke dalam Axia dengan mudah disebabkan saiznya yang kompak
Malah Axia dan Ativa juga dibangunkan dengan menggunakan platform serba baru Daihatsu New Global Architecture sama seperti yang digunakan oleh Perodua Alza. Maka kedudukan cagak enjin pada cesi boleh diseragamkan dengan mudah antara kedua-dua model
Tapi berbalik semula kepada persoalan di atas, kami rasa 1KR-VET kemungkinan besar tidak akan dipasang pada Axia D74A. Perodua akan kekal menggunakan enjin 1KR-FE lengkap dengan sistem pemasaan injap yang menjana 67 kuasa kuda dan 91Nm tork pada 4400 RPM.
Enjin 3 silinder ini dipadankan dengan transmisi automatik 4 kelajuan memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 21.7km per liter. Jika dibandingkan antara enjin 1KR-VET dengan enjin 1KR-FE, maka anda akan perasan yang enjin yang dipasang pada Ativa ini akan lebih serabut dan banyak aksesori yang perlu dipasang bagi memastikannya beroperasi dengan baik

Ia perlu dipasang dengan unit penyejuk intercooler, disambungkan dengan pelbagai hos getah dan keluli, sistem pancitan bahan api EFI berkembar (2 pemancit bagi setiap silinder), sistem positive Crankcase, dan sistem penyejukan EGR bagi mengurangkan masalah knocking/ketukan bagi memastikan unit turbo dipasang pada enjin ini boleh beroperasi dengan harmoni
Jika anda lihat semua komponen di atas, ia adalah kos yang perlu ditanggung oleh pengeluar dan dipindahkan kepada pembeli dengan menaikkan harga jualan kereta. Maka dengan pemasangan turbo sahaja, harga jualan Perodua Axia D74A akan meningkat dan tidak lagi akan menjadi pilihan rakyat biasa yang mahukan sebuah kereta kompak dan murah
Sebagai rekod, Perodua Axia Advance yang lengkap dengan semua ciri-ciri keselamatan Advance Safety Assist hanya dijual pada harga RM 41,427 sahaja. Kalau dipasang dengan turbo, tak mungkin Perodua mampu mengekalkan harga Axia D74A sama dengan Axia D18D yang lama.
Kita kena ingat yang Perodua Axia merupakan legasi kereta kompak mampu milik bagi meneruskan lagenda kereta kompak keluaran Perodua yang lain. Ia dimulakan oleh Perodua Kancil, diteruskan dengan Perodua Kelisa, digantikan dengan Perodua Viva dan Perodua Axia kekal sebagai kereta penumpang yang murah dimana anda boleh membeli Axia manual pada harga permulaan RM 23,367
Meletakkan turbo pada enjin Axia akan menyebabkan harganya melonjak tinggi diluar kemampuan pengguna biasa. Mungkin inilah sebab yang sama Perodua Alza kekal menggunakan enjin 1500cc dual VVTi 2NR-FE berbanding dengan enjin 1KR-VET, bagi merendahkan harga jualan agar Alza kekal menjadi MPV termurah di pasaran.
Namun bagi memastikan Perodua Axia kekal menjimatkan bahan api, kami pasti ia akan menggunakan transmisi Dual Mode CVT. Mungkin penggnaan bahan api akan menjadi lebih baik dan berupaya mencapai tahap penjimatan sehingga 25km/liter petrol. Mana la tahu kan.
Bersandarkan data di atas, kami yakin bahawa Perodua Axia D74A tidak akan menggunakan enjin 1KR-VET seperti yang viral sebelum ini. Berhenti berharap dan tak payahlah bermimpi di siang hari



