
PERODUA PERUNTUK RM1.15 BILION TAMBAH BAIK OPERASI
Perodua dilapor telah memperuntukkan sebanyak RM1.15 bilion perbelanjaan modal tahun ini untuk menambahbaik operasi bagi kumpulannya.
Antara bidang utama penambahbaikan termasuk bahagian perniagaan baharunya di mana Perodua sedang meluaskan perniagaan Kenderaan Terpakai (POV), terutamanya selepas mendapat respon positif daripada orang awam selepas pelancaran Ativa Hybrid pada September 2022
“Kami juga memperuntukkan RM537.1 juta untuk pembangunan model baharu, serta RM247.1 juta untuk memodenkan lagi operasi kami termasuk menaiktaraf pusat 1S dan 2S sedia ada kepada pusat 3S,” Presiden dan Ketua Pegawai eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.
Dalam industri automotif, istilah 1S merujuk kepada bilik pameran jualan kendiri, 2S merujuk kepada pusat servis dan alat ganti manakala 3S adalah gabungan kedua-duanya.
Dengan penambahbaikan yang dirancang untuk rangkaiannya, Perodua mensasarkan peningkatan dalam jumlah pengambilan kenderaan di pusat servisnya.
“Untuk 2023, kami mensasarkan untuk melihat peningkatan dalam pengambilan kenderaan kepada 2.8 juta unit daripada 2.6 juta yang dicatatkan pada 2022.
“Pertumbuhan ini akan menjadi gabungan penambahbaikan dari segi tempoh masa dan ruang servis kami di seluruh negara,” kata Zainal.