
AXIA TERIMA DUA ANUGERAH FROST & SULLIVAN
Model ke-10 Perodua, Axia menerima dua anugerah iaitu “Value-for-Money Car of the Year Award (model 1.3 liter ke bawah) dan “Car of the Year for 2016” pada majlis tahunan Frost & Sullivan Malaysia Excellence Awards baru-baru ini.
Pemilihan Perodua Axia sebagai kereta Value-for- Money Car of the Year Award adalah berdasarkan sifatnya yang mampu milik dan kecekapan bahan api, sekali gus menyumbang kepada nilai pemilikan.
Axia dianugerahkan sebagai Car of the Year Award berikutan kejayaannya mencatat pertumbuhan volum jualan yang mengagumkan pada 2014 dan 2015. Rekod itu menyumbang kepada peningkatan perkongsian pasaran segmen kereta kompak dan impak keseluruhan volum total industri (TIV) 2015.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata, anugerah berkenaan membuktikan komitmen Perodua untuk menawarkan produk berkualiti terbaik, bernilai kepada wang dan pengalaman pemanduan yang bagus.
“Kami gembira dan pada masa sama merendah diri untuk menerima pengiktirafan ini. Terima kasih kepada Frost & Sullivan kerana menyediakan platform objektif untuk menilai kenderaan secara saksama. Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia terutama pelanggan kami yang terus menyokong Perodua,” katanya.
Perodua Axia merupakan kereta kompak pertama EEV (Energy Efficient Vehicle) yang ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard E, Standard G, SE dan Advance. Perodua sudah berjaya menjual 154,103 unit Axia sejak dilancarkan pada September 2014.