Artikel Pilihan

BAGAIMANA AKSI SEBENAR DALAM FAST 9 DIBUAT TANPA CGI?

Sebenarnya kami malas nak tengok Fast 9 ini, rasa dah macam tak logik pula jalan cerita dia. Baik layan Ejen Ali The Movie atau tengok pemimpin politik buat kenyataan akhbar, lawak jugak kan. Salah satu sebab yang menjadikan Fast 9 ini menjadi semakin tawar ialah penulis rasa terlalu banyak CGI digunakan selain jalan cerita merapu

Tapi sebenarnya penulis silap kerana dengan filem terbaru Fast 9 ini, ia diarah semula oleh Justin Lin dengan mengambil semula pendekatan tradisional untuk pengambaran. Kebanyakan aksi Fast 9 yang melibatkan kereta pada kali ini dibuat secara realistik dengan bantuan pelakon aksi, kereta sebenar dan disudahkan dengan sedikit CGI

Kami senaraikan antara beberapa babak aksi sebenar yang dibuat di lokasi pengambaran, dengan menggunakan kereta sebenar, pemandu profesional dan pelakon aksi. Kebanyakan aksi dalam filem ini dihasilkan oleh koordinator stunt professional iaitu Andy Gill.

Tak cam kereta apa, mungkin Datsun Bahulu

1. Aksi Letty dikejar oleh SUV – dalam aksi ini, kereta yang dipandu oleh Letty telah diubahsui di bahagian kargo dengan satu bracket besi, agar SUV penjahat terlekat disitu dan diseret oleh kereta Letty. Bagi menyudahkan aksi ini, SUV tadi akan dilambung dan dilontarkan ke belakang

Ia dibuat dengan menggunakan kren serta bantuan kabel besi yang kuat. Apabila SUV tadi tersangkut pada kabel, ia akan berpusing ke belakang di udara dirakam dan shot ini dibuat tanpa CGI

2. Aksi Dominic dan Dodge Charger – dalam aksi ini, Dodge Charger yang dipandu oleh Dom akan dipasang dengan magnet yang membolehkan Dom menarik dan melontarkan semua kereta penjahat yang mengejarnya. Selepas dilontar oleh Dom, SUV tadi akan melanggar sebuah van yang diparkir di tepi jalan

Bagi membolehkan aksi ini dibuat, satu ramp atau jambatan kayu dibuat di belakang susunan kereta. Van tadi pula dipasang dengan lapisan keluli di bahagian dalam agar SUV berhenti selepas melanggar kereta dan van tersebut

3. Aksi Toyota GT86 dilemparkan dalam kedai – shot memerlukan 8 bulan untuk disiapkan walaupun masa tayangan hanya selama 5 saat sahaja. Aksi ini memerlukan GT86 dilemparkan dari pnuematic platform ke dalam kedai, diikuti dengan GT86 dibawa di atas track bagi dilemparkan ke belakang kedai

Ini diikuti oleh aksi GT 86 merempuh sebuah lori barangan yang melalui belakang kedai. Ya ada sedikit CGI digunakan sebagai touch up, tapi GT 86 memang betul-betul langgar cermin, lalu dalam kedai dan diakhiri dengan langgar lori

4. Aksi kejar mengejar Dom dan Jakob – walapun nampak seperti dibuat di hutan tropika, set pengambaran sebenarnya di buat di Amerika dengan pasukan pengambaran membina jalan berbatu hampir 1km bagi aksi kejar mengejar. Jalan ini kemudian ditanam dengan bahan letupan sebenar.

Bagi melindungi pelakon, Ford Mustang dan Dodge Charger yang digunakan dilapisi dengan plet keluli sebagai perisai tambahan untuk perlindungan. Aksi ini dirakam dengan kamera statik, kamera pada buggy, dron dan helikopter pada pelbagai sudut menjadikan seolah-olah kawasan penggambaran sangat besar.

Owh ya walaupun nampak laju dalam filem, kelajuan sebenar jentera semasa penggambaran adalah sekitar 30 ke 80km/jam sahaja.

5. Aksi lori Armadillo – antara masalah lori Armadillo ini ialah ia sangat berat dan tak cukup laju. Bagi menggambarkan Armadillo ini laju dan unstoppable, Justin Lin memberi idea kereta mesti dilontarkan pada lori ini ketika pengambaran berlangsung.

Bagi melontarkan kereta, krew filem menggunakan mesin yang diberi nama “flipper”. Secara asasnya mesin ini terdiri daripada 2 lengan gergasi yang diisi dengan cecair hidraulik tekanan tinggi. Letak saja kereta atas flipper, dan kres stun hanya perlukan pemasaan yang tepat bagi melontarkan kereta ini ke arah lori Armadillo

Anda boleh tengok bagaimana aksi sebenar bagaimana krew stun menghasilkan aksi bagi filem Fast 9 di SINI. Tapi yang paling tipu ialah aksi terbang Dominic, itu sah-sah guna CGI. Yang original cuma masa dia mula terbang dan mendarat sahaja

Google ads
Back to top button