Buletin

BAS PERSIARAN JADI FOOD BANK

Sebuah syarikat pengangkutan awam mengambil inisiatif mengubah suai bas persiaran untuk dijadikan bank makanan bergerak bagi membantu golongan terjejas.

Pengarah Urusan Bintong Ekspress & Holiday, Zambri Mat berkata, idea bagi mengumpul bantuan makanan di dalam bas timbul selepas syarikat berkenaan tidak dapat beroperasi sejak lebih setahun lalu.

Sebagai permulaan, beliau memberitahu, bas berkenaan akan ditempatkan di jalan masuk ke Taman Budiman, Tandop, Alor Setar. Penduduk berdekatan boleh menyumbang dan mengambil bantuan makanan disediakan.

“Mereka yang terjejas dan terputus bekalan boleh mendapatkan bekalan antaranya beras, bihun, susu, gula, kopi dan kicap, manakala mereka yang mampu juga boleh meletak sumbangan mereka di situ.

“Bank makanan ini akan dibuka mulai 9 pagi hingga 7 malam setiap hari sehingga 31 Julai depan,” katanya.

Zambri menambah, pihaknya juga mengalu-alukan mana-mana pihak atau syarikat korporat yang berminat menggunakan bas miliknya bagi dijadikan pusat bantuan atau diletakkan di hadapan premis mereka.

“Saya ada kira-kira 40 bas yang boleh digerakkan bagi tujuan kebajikan dalam usaha membantu masyarakat setempat sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh ketika ini,” katanya.

Zambri yang juga Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berkata, bas berkenaan juga boleh digunakan bagi membawa makanan ke kampung atau kawasan luar bandar yang memerlukan bantuan. – HM

Google ads
Back to top button