Artikel Pilihan

GM FUTURLINER – ‘MENATANG’ APAKAH INI?

Sekali imbas tengok kenderaan ini ingatkan ianya sebuah bas persiaran. Dua kali tengok macam kepada keretapi pun iya juga. Tapi apa hal cermin kokpit dah serupa macam kapal terbang? Lori? Motorhome? Kepala Komuter yang selalu lambat tu? Salah! Inilah dia GM Futurliner. Sebuah kenderaan yang lahir semenjak zaman Paleolitik lagi.

Sebenarnya GM Futurliner ini merupakan sebuah kenderaan yang dibina secara tempahan khas oleh Harley Earl khusus untuk General Motors pada awal 1940an. Dengan mempunyai saiz meliputi panjang 10 meter, lebar 2.4 meter, serta tinggi 3.5 meter serta berat melebihi 12 tan, sememangnya GM Futurliner ini seumpama gergasi di jalanan.

Gabungan warna merah / putih pada badan kenderaan ini sememangnya mampu menarik perhatian sesiapa sahaja dari jauh. Menarik juga sudah tentulah penggunaan tayar dengan dindingnya juga berwarna putih. Nampak klasik. Tapi paling menarik perhatian adalah ruangan kokpit pemandu yang terletak tinggi melangit serta cermin 360 darjah yang mampu membantu penglihatan pemandu untuk melihat kenderaan di hadapan dengan lebih jelas. Dan untuk makluman, kenderaan ini hanya boleh memuatkan tiga orang penumpang sahaja termasuk pemandu.

Lantas pasti ada yang bertanya, bagaimanakah sang pemandu dan penumpang untuk memasuki ruangan kabin kenderaan ini? Sebenarnya terdapat dua pintu di bahagian muncung hadapan untuk dibuka bagi membolehkan pemandu / penumpang menaiki anak tangga yang curam ke bahagian atas. Bahagian pemandu terletak betul – betul di bahagian tengah kokpit dengan dua tempat duduk penumpang di barisan kedua.

Yang sebenarnya, GM Futurliner ini digunakan sebagai sebuah kenderaan pameran / perarakan Parade of Progress di Amerika Syarikat. Sebanyak 12 buah GM Futurliner telah dibina ketika itu dengan tujuan mengelilingi seluruh benua Amerika Syarikat serta Kanada bagi mempamerkan teknologi kepada rakyat meliputi kejuruteraan jet, pertanian, mikro oven serta televisyen.

Setiap hentian akan dipasang dengan khemah besar serta kesemua kenderaan GM Futurliner ini mempamerkan teknologi masa hadapan berdasarkan tema masing – masing. Kira macam tapak pesta info hiburan kepada masyarakat ketika itu. Namun program Parade of Progress ini terhenti sepenuhnya pada tahun 1956 sementelah orang ramai mula boleh mendapatkan info dan hiburan melalui kaca tv sahaja.

Dari 12 unit kenderaan yang dibina, khabarnya hanya 9 unit sahaja yang diketahui selamat dan berada dalam keadaan baik dengan pemilik baharu di Jerman dan juga ada yang berada di Sweden selain beberapa unit berada di bumi Amerika Syarikat sendiri. Sesungguhnya GM Futurliner ini merupakan sebuah khazanah buat cukup bernilai. Ubah suai buat motorhome memang elok sangat ni.

BACA : PERJUMPAAN KERETA KALSIK NAGOYA

BACA : FIAT MULTIPLA DAN SEJARAHNYA

Google ads

B K

Back to top button