Artikel Pilihan

FORD TRANSIT XXL – LIMO KE BAS PERSIARAN NI?

Dalam dunia per-van-an, Ford mempunyai model yang boleh tahan handal dan popular juga. Selain daripada Ford Econovan yang popular di tempat kita suatu ketika dahulu, mereka juga mempunyai sebuah model global yang cukup popular. Ford Transit. Tapi yang ini bukanlah sebarang Ford Transit biasa biasa, ini adalah Ford Transil XXL. Bapak besar.

Sedikit sejarah untuk ditelusuri, generasi pertama Ford Transit ini mula berada di pasaran pada tahun 1965. Rekaan klasik ini cukup praktikal, van yang besar gedabak menjadikan ianya bertahan sehingga ke tahun 1986 tempoh produksinya. Cukup lama.

Ford Transit XXL ini sebenarnya dibina daripada casis Ford Transit generasi ketiga yang mula berada di pasaran pada tahun 2000 – 2014. Dan model super size ini dibina istimewa oleh Ford Europe pada tahun 2007 bersempena dengan status yang dirangkul International Van of the Year 2007. Kerja kerja pembinaan Ford Transit XXL ini telah dilakukan di Dunton, UK. Dan untuk menjadikannya ianya panjang serupa bas persiaran, maka dua bahagian Ford Transit telah dicantumkan. Sudah tentu kerja kerja fabrikasi ini harus dilakukan dengan teliti dan kukuh. Karang terlerai tengah jalan naya aja kan. Ianya menjadikan panjang Ford Transit ini bertambah sehingga ke 7.4 meter berbanding panjang model asal 4.9 meter. Begitu juga titik roda Transit XXL ini berubah kepada 5.9 meter berbanding 2.9 meter yang asal.

Dan bagi memudahkan urusan keluar masuk, empat pintu gelungsur tersedia untuk digunakan di kiri dan kanan kenderaan. Senang tak payah nak kena pergi sampai ke hadapan. Jauh juga rasanya kaki melangkah. Bagi menjamin keselesaan ala limo, Ford Transit XXL ini menggunakan Captain Seat. Lengkap dengan balutan kulit, perehat tangan dan skrin monitor individu. Bolehlah nak membawa tujuh penumpang sekaligus dengan kelesaan yang bukan kepalang.

Cumanya untuk menggerakan badan van yang panjang ini, ianya masih lagi menggunakan enjin TDCi yang bersesaran 2.2 liter bersama kotak gear manual lima kelajuan. Cumanya perubahan terhadap sistem gantungan turut dilakukan bagi menampung berat penumpang serta bagasi sehingga ke 3500 kg. Begitu juga dengan sistem brek yang handal turut diperlukan bagi memastikan pemandu tidak perlu menekan pedal brek sambil berdiri.

Amacam, menarik juga apabila van sebegini dijadikan sebuah limo yang ekslusif kan?

Kredit Foto : FB Transit Center

BACA ; FORD TRANSIT MANUAL 6 KELAJUAN – RM148888

BACA : LELAKI INI ADA 6000 KOLEKSI VAN FORD TRANSIT

Tags
Google ads
Back to top button