Buletin

PKPD: PENDUDUK SELANGOR, KL DIBERI VAKSIN

Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan beberapa aktiviti, termasuk pemberian suntikan vaksin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata suntikan pelalian akan diberikan kepada penduduk di lapan mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur, selain yang tinggal di sekitar kawasan dikenakan PKPD.

Bagaimanapun, katanya, individu yang sedang menjalani kuarantin sebagai kontak rapat kepada kes positif Covid-19 hanya akan menerima suntikan vaksin masing-masing selepas sampel calitan kali kedua disahkan negatif.

“Bagi lain-lain individu, pemberian suntikan vaksin boleh dibuat di kawasan PKPD, mengikut perancangan oleh KKM,” katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin, mengumumkan pelaksanaan PKPD di lapan mukim di Selangor dan lokaliti tertentu di Kuala Lumpur, selama 14 hari bermula hari ini hingga 16 Julai depan.

Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua negeri berkenaan menunjukkan pola jangkitan Covid-19 yang tinggi, dengan Selangor melaporkan kes harian antara 1,800 hingga 1,900, manakala Kuala Lumpur, 600 hingga 1,000 kes. –BH

Google ads
"
"
Back to top button