Artikel Pilihan

NISSAN NV3500 – VAN KE BAS PERSIARAN NI?

Apabila berbicara tentang van jenama Nissan, Vanette lah yang cukup mudah kita ingat. Betapa popularnya van tersebut di merata pelusuk. Dan di zaman moden ini, Nissan telahpun menggantikan dengan model yang lebih moden, Nissan NV200. Cuma di tempat kita tiada versi penumpang. Model van yang besar sikit adalah si Urvan tu. Tetapi tahukah anda semua bahawa Nissan juga memiliki sebuah van bersaiz mega, NV3500.

Sekali imbas, kita memang boleh duga akan kebesaran saiz van ini. Sememangnya Nissan telah membina van bersaiz penuh ini khusus untuk pasaran Amerika, Mexico dan juga Canada. Iyalah, kalau di sana kan serba serbi semua benda nak yang besar aja. Baru boleh lawan dengan van GMC, iya tak?

Van terbesar yang pernah dibina Nissan ini sememangnya disasarkan bagi kegunaan komersial dan juga persendirian. Sangat sesuai untuk mereka yang gemar berjalan – jalan usung habis semua ipar duai ikut sekali. Boleh sumbat sehingga 12 orang penumpang sekali gus. Dan bagi menjamin keselesaan setiap penumpang, sudah tentulah setiap barisan tempat duduk mempunyai corong pendingin hawa. Malah ianya turut mempunyai 324 konfigurasi tempat duduk yang boleh diubahsuai mengikut kesesuaian. Bawa pergi Ikea beli kabinet memang ngam teruk la orang kata.

Manakala ruangan pemandunya barangkali kelihatan ringkas tetapi cukup praktikal. Papan pemukanya tidak fancy langsung dan kelihatan macam kenderaan yang dipandu oleh Abah Abah sahaja gayanya. Tetapi sistem infohiburan yang tersedia lengkap dengan segala aplikasi dalaman meliputi peta, panduan trafik, cuaca dan juga FB. Mujur tak IG sekali kau.

Van bersaiz mega ini dari iras luarannya jelas sekali menampilkan gaya Amerika dengan gril yang bersaiz papan iklan kedai tomyam tapi masih menampilkan ciri sebuah kenderaan keluaran Nissan. Nampak perkasa sangat. Garis bahu dari hadapan cukup untuk membuatkan Nissan NV3500 kelihatan sasa. Manakala bahagian belakang van ini turut mempunyai pintu jenis daud yang mana cukup praktikal untuk memunggah kargo.

Dua pilihan enjin ditawarkan kepada pengguna. Untuk Abah Abah yang biasa, pilihan sesuai adalah model yang menggunakan enjin 4.0 liter V6. Nak dapat kuasa maksimum 261 hp memang tak ada masalah. Manakala pilihan satu lagi untuk Abah Abah yang luar biasa adalah enjin 5.6 liter V8. Memang masak nak bayar cukai jalan. Tapi enjin ni sememangnya cukup berkuasa dan turut dilengkapi dengan alatan menunda trailer / motorhome di belakang. Baru boleh usung sekeluarga pergi bercuti ke pinggir hutan.

Maka tidak syak lagi seandainya van jenama Jepun ini mampu diterima dengan baik oleh masyarakat di benua Amerika. Cumanya kalau masuk sini, alamatnya menangislah nak bayar cukai jalan mahal Ya Robbi.

BACA : NISSAN NV350 URVAN

BACA : PELIK TAPI BENAR – NISSAN EVALIA TIDAK LAKU DI INDONESIA

Google ads
Back to top button