
BASUH KERETA MUSIM HUJAN? KAMI NAK KONGSI BEBERAPA TIP
Kata orang musim hujan sekarang ni memang waktu yang kurang sesuai kalau nak basuh kereta sebab boleh dianggap sesuatu kerja yang sia-sia sebab nanti akan kotor semula. Memang ada logiknya namun ada sebab yang lebih dari faktor kebersihan semata-mata.
Sila abaikan kenyataan tersebut sebab ia ibarat hasutan syaitan yang membuatkan anda lalai dalam bab penjagaan kenderaan anda.
Di sini kami nak kongsi kenapa anda perlu basuh kenderaan anda ketika musim hujan ni. Biarlah jiran kata anda gila asalkan kenderaan anda bersih dan mempunyai kebaikan jangka masa panjang. Lepas tu anda boleh kongsikan tip-tip ini pada mereka.
1. Supaya warna kereta tahan lama
Dalam keadaan atmosfera bumi yang tercemar memungkinkan hujan berasid terjadi. Keasidan hujan membolehkannya menghakis lapisan clear pada cat kenderaan. Kemasan krom juga boleh hilang kilatnya. Hakisan ini walaupun mengambil masa yang lama, tindakan pencegahan adalah yang terbaik.
Seboleh-bolehnya gunakan sabun khas untuk membasuh kereta bukan syampu mandi atau sabun basuh kain. Bilas dengan semburan air bukan dengan simbahan baldi. Lap dengan kain mikrofiber yang lembut
2. Polish atau wax setiap beberapa bulan
Kalau ada bajet buatlah rawatan lapisan wax atau polish setiap beberapa bulan. Paling kurang pun 2 kali setahun. Di pasaran sekarang ini terdapat beberapa jenama yang agak berkualiti yang mampu melindungi kenderaan anda dari anasir penghakis. Kotoran lain pun payah nak lekat.
Kalau tak mahu buat sendiri, pusat cucian kenderaan juga biasanya menawarkan perkhidmatan ini. Mereka mempunyai pekerja yang terlatih dan mahir dalam mengurus kotoran melibatkan cat. Berbelanja sedikit demi kenderaan kesayangan anda.
3. Faktor keselamatan
Ini ditumpukan pada cermin depan dan belakang. Waktu hujan cenderung menjadikan bahagian ini di selaputi kesan-kesan air atau selut dari percikan air yang berpasir atau berselut. Kadangkala ia akan berwap menyebabkan penglihatan kurang jelas dan membahayakan ketika memandu.
Sapukan atau sembur pembersih cermin yang banyak di pasaran demi kadar penglihatan yang lebih jelas. Pastikan juga pengelap cermin dalam berkeadaan baik.
Lakukan juga pada lampu utama dan lampu brek.
4. Kebersihan dalaman
Musim hujan inilah membuatkan dalaman kenderaan anda bertambah kotor. Di tapak kasut andalah akan melekat air, pasir dan tanah. Kalau boleh bersihkan kawasan tersebut sebelum memasuki kenderaan. Kalau tidak anda kan melabur untuk membeli karpet baru untuk kereta anda dek kerana dah kusam dan berbau.
Kami juga mahu mencadangkan sarungkan kerusi dengan sarung kalis air. Sesetengah fabrik kereta akan menyerap air dari baju atau seluar yang basah. ini meninggalkan kesan air apabila ia kering. Macam kesan air liur basi pada bantal.
Bila kereta dah bersih, berkilat dan wangi barulah semangat memandu bawak famili jalan-jalan. Kereta tak bekeladak dek lumpur dan berselut sana-sini macam lori balak baru keluar hutan.
Ini secara tidak langsung tip menyihatkan badan bagi anda semua agar mengeluarkan peluh. Jangan nak tidur je musim-musim hujan ni. Lagi bagus kalau bawah garaj rumah tu ada 8 biji kereta, basuh semua sekali pun takpe.
Selamat mencuci kereta.