
XIOAMI LANCARKAN JENAMA BARU- SKY NOMAD
Xiaomi terus mengorak langkah agresif dalam industri automotif apabila mengesahkan penubuhan jenama baharu dikenali sebagai Sky Nomad, atau Xiaomi Pengcheng dalam bahasa Cina. Pengumuman ini mengesahkan pelbagai spekulasi sebelum ini bahawa Xiaomi sedang merancang untuk meluaskan portfolio kenderaan, bukan sekadar bergantung kepada EV sepenuhnya.
Sky Nomad bukanlah jenama yang akan menggantikan Xiaomi Auto. Tetapi jenama ini diwujudkan sebagai sub-jenama yang memberi tumpuan kepada pembangunan kenderaan Extended Range Electric Vehicle (EREV), yang semakin mendapat sambutan di China kerana menggabungkan kelebihan kecekapan sistem elektrik dengan enjin sebagai generator untuk perjalanan yang jauh.
Melalui strategi ini, Xiaomi Auto akan terus memasarkan model elektrik tulennya seperti SU7, SU7 Ultra dan SUV YU7, manakala Sky Nomad pula akan memberi fokus kepada model EREV yang direka khusus untuk pengguna yang mahukan perjalanan jarak jauh tanpa perlu terlalu bergantung kepada rangkaian pengecas pantas.

Model pertama di bawah jenama Sky Nomad dikenali sebagai N90, sebuah SUV bersaiz penuh yang dibangunkan menggunakan sistem pacuan EREV. Berbeza dengan kenderaan hibrid konvensional, sistem ini menggunakan enjin petrol 1.5 liter turbo sebagai penjana elektrik untuk mengecas bateri apabila diperlukan.
Enjin tersebut tidak memacu roda secara langsung, sebaliknya semua kuasa pemanduan disalurkan oleh motor elektrik. Sistem ini membolehkan pemandu menikmati pengalaman pemanduan yang hampir sama seperti sebuah EV tulen, tanpa risau mengenai jarak perjalanan kerana enjin petrol akan memastikan bekalan tenaga kepada bateri sentiasa mencukupi apabila cas semakin berkurangan.
Menurut maklumat yang didedahkan sebelum ini, N90 dijangka menggunakan pek bateri berkapasiti melebihi 70 kWh. Ini membolehkan SUV tersebut menawarkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya sekitar 400 hingga 500 kilometer.

Manakala jarak perjalanan keseluruhan dengan bantuan enjin range extender dianggarkan melebihi 1,500 kilometer. Angka tersebut meletakkan N90 antara SUV EREV yang menawarkan jarak perjalanan paling jauh dalam kelasnya.
Walaupun Sky Nomad baru sahaja diumumkan secara rasmi, Xiaomi dilihat sudah mula memperkenalkan identiti jenama tersebut kepada orang ramai. Syarikat itu telah membuka akaun rasmi Sky Nomad di platform media sosial WeChat selain memulakan kempen promosi melalui paparan skrin digital bersaiz besar di beberapa bandar utama di China.
Langkah ini menunjukkan Xiaomi sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan model pertamanya kepada pasaran dalam masa terdekat. Penubuhan Sky Nomad turut mencerminkan perubahan strategi Xiaomi dalam industri automotif.

Segmen ini kini didominasi beberapa pengeluar tempatan seperti Li Auto dan Aito yang berjaya menarik perhatian pengguna menerusi gabungan kelebihan EV dan fleksibiliti enjin petrol sebagai penjana kuasa. Dengan pengalaman Xiaomi dalam pembangunan teknologi perisian, sistem pintar dan ekosistem digital, kemunculan Sky Nomad dijangka akan meningkatkan lagi persaingan dalam segmen tersebut.
Jika strategi ini berjaya, Xiaomi bukan sahaja akan dikenali sebagai pengeluar EV malah bakal menjadi antara pemain utama dalam pasaran EREV global. Buat masa ini, tiada pengumuman mengenai rancangan untuk membawa Sky Nomad ke pasaran luar China.
Namun, melihat kepada perkembangan pesat teknologi EREV serta peningkatan minat pengguna terhadap kenderaan yang menawarkan jarak perjalanan lebih jauh, tidak mustahil jenama ini turut dipertimbangkan untuk pasaran antarabangsa pada masa hadapan, termasuk Malaysia.







