Buletin

BEKAS PEKERJA DITAHAN, BARANG DUCATI CORSE LEBIH RM1 JUTA DIRAMPAS

Polis Itali berjaya menemui semula pelbagai komponen perlumbaan milik Ducati Corse yang dilaporkan hilang sejak November lalu, dengan nilai rampasan dianggarkan sekitar €200,000 (kira-kira RM1.02 juta).

Barangan tersebut ditemui di Bologna selepas siasatan intensif dijalankan oleh Arma dei Carabinieri.

Kes kecurian itu melibatkan alat ganti serta aksesori perlumbaan berprestasi tinggi yang digunakan dalam kempen MotoGP dan WorldSBK.

Suspek, seorang lelaki warga Romania berusia 37 tahun yang menetap di Bologna, dikenal pasti hasil rakaman kamera litar tertutup sebelum pihak berkuasa menjalankan serbuan ke atas kediamannya atas arahan Pejabat Pendakwa Raya Bologna.

Difahamkan, individu berkenaan pernah bekerja di kilang Ducati di Borgo Panigale sebagai kakitangan kontraktor luar, sekali gus memudahkan akses kepada komponen tertentu.

Antara barangan yang dirampas termasuk sejumlah besar angkup brek Brembo, set suspensi Öhlins, pakaian perlumbaan, jam tangan serta pelbagai peralatan sokongan jentera lumba.

Turut ditemui ialah topi rasmi pasukan Ducati dengan warna pelumba Enea Bastianini, yang mewakili pasukan Lenovo Ducati dalam musim 2023 dan 2024.

Dalam kenyataan rasmi, Carabinieri memaklumkan bahawa suspek kini disiasat atas kesalahan kecurian serta memiliki barangan curi.

Semua komponen yang dirampas akan dipulangkan semula kepada Ducati selepas proses undang-undang selesai.

Google ads
Back to top button