
HONDA PANIGROMLE; HONDA MSX + DUCATI PANIGALE DARI THAILAND
Bukan. Ini bukan pocket bike saiz mini buatan China yang anda boleh beli di kedai permainan di Jalan Chow Kit , ini adalah motosikal replika Ducati Panigale 1199 yang dibuat menggunakan platform Honda Grom atau dikenali dengan Honda MSX. Ia dibuat sendiri oleh seorang pemilik Grom di Thailand di garaj rumahnya.
Kvin Moto atau nama Thailandnya yang susah nak disebut sebab bukan dieja dalam tulisan roman. Motosikal ini diasaskan daripada sebuah motor “mini”. Agak susah nak bayangkan ukurannya sebab Boon Siew Honda belum perkenalkan MSX di pasaran tempatan. Tapi kalau anda biasa tengok Kawasaki KSR, ia adalah model yang identikal.
Motor kecil dengan pasaran terhad?
Tidak, Honda MSX 125 adalah fenomena baru di Thailand. Di sebuah negara yang penduduknya kreatif menghasilkan sesuatu yang inovatif, Ducati ini adalah contoh kerja halus yang berjaya dibuat. Ia bukanlah main tempek-tempek gentian kaca, tapi dibuat dengan menggunakan perisian 3D lengkap dari prosses rekabentuk, acuan, potongan badan hinggalah pemasangan.
Sebenarnya, projek custom begini bukanlah asing. Namun menukar sebuah motor Grom yang kecil kepada model superbike memang tak pernah difikirkan orang. Ketelitian kerja Kvin Moto ini juga meliputi pada aspek penting seperti lengkok lampu, perumah tangki dan fairing sisi. Cuma lengan ayun belakang masih lagi di dua bahagian kerana membuat “arm” tunggal saya kira sangat susah sebab motor ni terlalu kecil.
Walaupun sudah ada lakaran asal “single arm”, mungkin disebabkan saiz dan ruang yang terhad, Kvin Moto tidak meneruskannya. Lebih baik begini sebab kalau panjang sangat nanti nampak terjulur keluar pula macam motorcross.
Tak lama dulu ada sebuah Honda Grom yang telah dipasangkan dengan enjin 1199 Panigale, juga dari Thailand oleh Mario Kleff. Kalau kita gabungkan kedua-dua projek ni tentu meletup kan?
Apa kata anda?