BuletinMotosikal

BEKAS PELUMBA MOTO3 NEGARA KEMBALI KE LITAR CUBPRIX UNTUK SAINGAN CP150

Bekas pelumba Moto3 negara, Amirul Hafiq Azmi bakal kembali ke litar setelah tersenarai dikalangan barisan pelumba CP150 pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Pasir Puteh Central, Kelantan pada 8 dan 9 September ini.

Pelumba berusia 21 tahun itu akan membawa cabaran pasukan Onexox TKKR Racing bagi menggantikan Md Haiekal Akmal Zakaria yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan patah kaki kiri.

Kali terakhir Amirul beraksi dalam saingan Kejuaraan Cub Prix pada tahun 2011 sewaktu perlumbaan berlangsung di Putrajaya bersempena sambutan Hari Belia Negara.

BACA: CUBPRIX DI PASIR PUTEH KELANTAN MINGGU INI

“Haikal mungkin terpaksa berehat lama akibat cedera patah kaki kiri sewaktu perlumbaan akhir di Jasin tempoh hari. Kami terpaksa mencari pengganti yang berpengalaman untuk bersaing dalam kategori CP150 ini,” jelas pengurus pasukan, Alizan Tambi.

Tambahnya, “Meskipun Amirul telah lama tidak bersaing di pentas Cub Prix, namun dia masih menunjukkan prestasi memberangsangkan sewaktu sesi ujian yang kami lakukan. Jika dia menunjukkan prestasi baik minggu ini, mungkin dia akan kekal sehingga ke penghujung musim jika Haiekal tidak sempat sembuh.”

Amirul akan bergandingan bersama dua pelumba muda, pemenang dua podium sewaktu Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Indonesi, Md Helmi Azman dan juga Md Khairul Ikhwan Ajis.

Google ads
Back to top button