Buletin

BELUM TUKAR INFLATOR BEG UDARA TAKATA? TAK BOLEH PERBAHARUI CUKAI JALAN – MENTERI PENGANGKUTAN

Pemilik kenderaan yang tersenarai dalam proses panggilan semula beg udara Takata tetapi masih tidak menukar komponen inflator tidak akan dibenarkan untuk memperbaharui cukai jalan.

Ini berikutan arahan Kementerian Pengangkutan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Anthony Loke menegaskan pemilik kenderaan perlu mengemukakan surat pengesahan daripada pengeluar kenderaan bahawa mereka sudah membuat penukaran.

Arahan tersebut dikeluarkan selepas seorang mangsa kemalangan, Pong Hoou Tien, 23, maut akibat kerosakan pada beg udara Honda City buatan tahun 2004 yang dipandunya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, Honda Malaysia mengesahkan Honda City itu termasuk dalam proses panggilan semua yang diumumkan pada 21 Mei 2015. Malah, Honda Malaysia menyatakan ia telah menghantar surat notifikasi beberapa kali, tetapi tiada tindakan diambil.

Sehingga kini, lapan kes kematian membabitkan kerosakan beg udara Takata dilaporkan berlaku di Malaysia.

Anthony juga menggesa pengeluar kenderaan supaya memberikan data pemilik kenderaan yang belum menukar komponen beg udara terbabit kepada JPJ untuk tindakan lanjut.

Sejak masalah inflator beg udara Takata diumumkan secara meluas, semua pengeluar kenderaan, terutama Honda Malaysia telah menjalankan pelbagai usaha bagi memastikan pemilik menghantar kenderaan ke pusat servis bertauliah.

Biarpun banyak kempen dilaksanakan, masih ada segelintir pemilik yang tidak mengendahkan insiatif itu, sedangkan sikap tidak ambil peduli itu boleh meragut nyawa mereka sendiri.

Google ads
Back to top button