Buletin

NISSAN GT-R NISMO GT3, PACUAN BELAKANG SAHAJA

Jepun tidak pernah sampai ke peringkat ini. Kalau ada, ia mungkin sekadar mengusik-usik supercar Itali dengan cara yang sinis atau dibuat oleh tuner-tuner mereka. Jarang ada kereta dari kilang yang serius mahu mencabar Porsche atau Ferrari/Lamborghini.

Jepun juga sedar akan kemampuan dan kredibiliti mereka. Menghasilkan kereta supercar yang laju, pantas dan bagus pengendaliannya tidak lah susah mana. Lihat sahaja pada NS-X dan Lexus LFA. Ia memang boleh dihasilkan. Cuma, menghasilkannya dalam “terma” sebuah kereta Jepun yang “murah” dan laju itu yang menjadi cabaran.

Tapi, ia sebenarnya wujud.

Nissan telah menghasilkan kereta sports yang terbaik dalam kelasnya. Pada harga jauh lebih murah, Nissan GT-R lebih laju dari sebuah Porsche 911 Turbo. 

Pun begitu, liga supercar seperti 911 Turbo, Lamborghini Aventador dan Ferrari 458 sudah sampai ke tahap versi lebih tinggi. Porsche ada 911 GT3RS, Lamborgini ada LP750 SV dan Ferrari ada 458 Speciale. 

Jadi Nissan ada apa?

Ini dia. NIsmo GT-R GT3. Enjin 3,799 cc VR38DETT 3.8 liter V6 turbo ini berupaya menghasilkan 550 PS pada 6,500 rpm dan 637 Nm tork pada 5,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang sahaja, melalui kotak gear turutan enam kelajuan Hewland. Ya. Ia tidak dipacu oleh sistem pacuan empat roda sepertimana GT-R biasa.

Walaupun ruang enjin kelihatan sama, sebenarnya posisinya telah berubah. Model 2018 ini menyembunyikan satu lagi kemaskini penting, iaitu penempatan semula enjin 150 mm lebih “dalam” ke belakang firewall. Ia juga berada di titik graviti lebih rendah berbanding model Nismo 2015.

Melengkapi enjin yang diposisi semula adalah semakan semula pada bahagian suspensi depan dan belakang.  Kedua-duanya telah ditala semual dengan set-up lebih baik bersama dengan crossmember yang direka bentuk semula.

Bahagian luarannya lebih ketara dengan kemasan kosmetik yang berfungsi sepenuhnya untuk aerodinamik. Diffuser belakang lebih besar, spoiler yang lebih lebar, sirip sisi, dan splitter yang dipasangkan pada posisi yang efektif.

Nissan GT-R Nismo GT3 ini  boleh ditempah dan dimiliki. Pihak NIssan Motorsport memberitahu harganya bermula dari 60,000,000 yen (RM2.1 juta).

Ya. Tuan-tuan. RM2.1 Juta.

GALERI

Google ads
Back to top button