Motosikal

BENDA TANG KNIFE. NAKED GARANG DENGAN ENJIN 94HP. RM25K DI PASARAN CHINA

Sejak kebelakangan ini, nama Benda semakin dikenali dalam kalangan peminat motosikal di seluruh dunia. Semuanya selepas pengeluar dari China itu memperkenalkan cruiser yang dikenali sebagai LFC700. 

Nampaknya, kesungguhan Benda tidak berakhir di situ apabila ia memperkenalkan pula model naked yang diberi nama Tang Knife. Tampil dengan reka bentuk bersegi-segi, jentera itu mempunyai spesifikasi menarik jika dilihat di atas kertas. 

Tang Knife dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 680cc yang mampu menjana 94hp. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear enam kelajuan bersama ciri klac slipper assist. 

Bukan itu sahaja, ia dilengkapi pelbagai komponen premium. Antaranya ialah suspensi fork hadapan jenis inverted dan monoshock boleh laras di belakang. Jentera itu juga dipasang dengan brek Brembo depan belakang dan sistem brek ABS. 

Apa yang membuatkan orang tertarik pada Tang Knife pastinya rekaan neo-retro yang radikal. Ini bukanlah motosikal yang biasa kita lihat di atas jalan raya. Garis-garis badan yang maskular bersama panel badan membuatkannya kelihatan begitu garang. 

Ia hadir bersama lampu LED, lampu isyarat membelok bersepadu dan paparan TFT berwarna penuh. 

Benda menawarkan Tang Knife pada harga 38,800 yuan (RM25,000). Korang rasa boleh laku ke nanti? 

Google ads
Back to top button