Motosikal

BENDA LANCAR CRUISER LFC700. ENJIN 680CC, 2 VARIAN, BERMULA RM25K

Pengeluar motosikal dari China, Benda akhirnya memperkenalkan versi motosikal cruiser yang sedia untuk diproduksi dikenali sebagai LFC700. Jentera itu dibina berasaskan kepada model konsep LF-10 yang dipertontonkan kepada umum sewaktu acara Pameran Motosikal Antarabangsa China 2020.  

Terkenal dengan rekaan cross-section pada roda belakang bersaiz 310 dan rekaan tajam, ia nyata tidak jauh berbeza dengan model konsep. Benda melancarkan LFC700 ke pasaran China dalam dua varian iaitu Standard dan High Power. Versi Standard ditawarkan pada harga 38,800 yuan (RM25,000), manakala varian High Power berharga 45,800 yuan (RM29,400) seunit.  

Dari segi prestasi, kedua-dua model itu menggunakan rangkaian kuasa yang sama. Ia dijana oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 680cc yang turut dilengkapi sistem pancitan bahan api elektronik dan sistem penyejukan cecair. Enjin tersebut mampu menjana kuasa 94hp disalurkan ke roda menerusi kotak gear enam kelajuan. 

Benda mendakwa LFC700 mampu memecut sehingga 170k/j dengan kelajuan maksimum 195km/j. 

Varian High Power menerima beberapa ciri tambahan seperti slipper clutch, suspensi Kayaba dan penyerap hentak monoshock boleh laras di belakang. Ia juga dipasang dengan brek Brembo berbanding brek Nissin pada model Standard. Kedua-dua varian itu bagaimanapun menerima sistem brek ABS sebagai ciri standard.  

Berbeza dengan Benda LF-01 Concept, versi LFC700 tidak dilengkapi sistem ride-by-wire dan kawalan jelajah. Langkah itu mungkin diambil untuk mengurangkan kos penghasilannya. Namun begitu, cruiser berkenaan menerima tangki sebesar 20 liter yang membolehkannya bergerak lebih jauh. 

LFC700 juga dipasang dengan kluster instrumen TFT warna penuh bersama navigasi binaan dalam serta lampu LED. 

Benda dijangka melancarkan LFC700 ke pasaran global dalam tempoh beberapa bulan lagi. Antara pasaran yang bakal ditembusi termasuklah Asia serta Eropah seperti Sepanyol, UK dan Portugal.  

Google ads
Back to top button