Motosikal

TUNGGANG MOTOSIKAL SECARA BERBAHAYA, 3 LELAKI DITAHAN POLIS DALAM OP SAMSENG JALANAN DI PULAU PINANG

Tiga orang penunggang motosikal yang didakwa berlumba dan melakukan aksi berbahaya di jalan raya ditahan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR), Bagan Ajam, Butterworth Pulau Pinang semalam.

Aktiviti berlumba sesama sendiri itu dikesan pihak berkuasa ketika menjalankan Op Samseng Jalanan pada jam 11 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua daripada lelaki terbabit dilihat berlumba sesama sendiri dari Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) menghala ke rumah tol BORR.

Manakala seorang lagi lelaki ditahan kerana melakukan aksi ‘wheelie’ yang membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Mereka yang berusia antara 18 hingga 21 tahun itu ditahan sebaik sahaja berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) BORR. Ketiga-tiganya terdiri daripada pekerja bengkel, peniaga dan pekerja kilang,” kata Noorzainy kepada Harian Metro. 

Ujian saringan air kencing bagaimanapaun mendapati ketiga-tiga mereka negatif daripada pengambilan bahan terlarang. – Harian Metro

Google ads
Back to top button