Buletin

BERENANG RENTAS DAERAH NAK JUMPA RAKAN

Terjun ke laut dan cuba berenang ke Seberang Perai, demikian tindakan nekad lelaki dalam kejadian di Tanjung City Marina, Pengkalan Weld, Georgetown, Pulau Pinang pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, lelaki berusia 28 tahun itu berjaya diselamatkan oleh kakitangan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) selepas melihat terapung di laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada 6 petang Isnin lalu berhampiran jeti di sini.

Menurutnya, lelaki berkenaan cuba berpatah balik ke jeti dipercayai kerana keletihan sebelum diselamatkan petugas PPSB.

“Kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis dan siasatan mendapati lelaki terbabit mendakwa dia mahu berenang ke seberang kerana ingin bertemu dengan rakannya.

“Dia tidak mempunyai kebenaran polis untuk rentas daerah kerana tiada alasan munasabah untuk berbuat demikian,” katanya.

Menurut Soffian, ketika diselamatkan lelaki terbabit tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan hanya menyatakan nama serta butiran peribadinya secara lisan.

Katanya, semakan mendapati lelaki berkenaan berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang dan tidak mempunyai pekerjaan.

“Ibu lelaki berkenaan ketika dihubungi mengatakan bahawa anaknya itu sudah lama tidak pulang ke rumah dan dipercayai hidup sebagai gelandangan serta disyaki penagih dadah.

“Lelaki berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan patah tangan kanan dan masih menerima rawatan lanjut ketika ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu akan dibuat selepas lelaki berkenaan selesai menjalani rawatan dan dibenarkan keluar dari hospital.

Video dan foto lelaki berkenaan ketika diselamatkan turut tular di media sosial.

Sementara itu, PPSB menerusi kenyataannya menafikan bahawa lelaki berkenaan terjun ke laut kerana tidak dibenarkan menaiki feri.

“Lelaki itu tidak memasuki atau melompat di terminal ini bagi menaiki feri seperti yang didakwa menerusi hantaran yang tular di media sosial,” katanya. –HM

Google ads
Back to top button