Buletin

BERHENTI DI LALUAN KECEMASAN LEBUHRAYA SUKE TENGOK PEMANDANGAN, MYVI KUNING DIREMPUH KAPCAI SUZUKI

Baru saja dilancarkan pada 16 September lalu, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) merekodkan kemalangan pertama membabitkan dua kenderaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian jam 2.45 petang itu membabitkan seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan.

Punca kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil gambar lebuh raya berkenaan.

“Kemudian datang motosikal jenis Suzuki dari arah belakang melanggar kereta berkenaan. Kemalangan menyebabkan penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di kaki sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Kes disiasat di bawah Kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak berhenti di lorong kecemasan jika tiada sebarang perkara keperluan atau kecemasan.

“Selain itu, tindakan individu sewenang-wenangnya berhenti di lorong kecemasan boleh mengundang padah kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Tindakan terbabit boleh mengancam nyawa serta menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata PROLINTAS menerusi anak syarikatnya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd mengambil maklum terdapat segelintir pengguna lebuh raya yang teruja dan berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan di beberapa lokasi di Lebuhraya SUKE.

“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLINTAS. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Bahagian operasi Lebuhraya SUKE telah mengenal pasti beberapa lokasi panasyang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya. Kon keselamatan telah ditempatkan di lokasi berkenaan untuk membendung pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan.

Unit Polis Bantuan PROLINTAS atau Peronda SUKE yang bertugas 24 jam melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi-lokasi panas tersebut.

Mohammad Azlan berkata papan tanda “Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan” juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat. Mesej sama akan dipaparkan pada Sistem Mesej Pelbagai (VMS) di sepanjang lebuh raya sebagai peringatan kepada pengguna.

“Bahagian operasi Lebuhraya SUKE akan memastikan penyelenggaraan lebuh raya berada di tahap optimum selain akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar.

“Di setiap satu kilometer Lebuhraya SUKE dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dengan 40 unit dipasang di sepanjang jajaran di kedua-dua hala. Bahagian operasi sentiasa memerhati pergerakan trafik dan menghubungi peronda SUKE untuk ke lokasi jika terdapat sebarang kecemasan atau gangguan,” katanya.

Sementara itu, sebuah Kawasan Rehat dan Rawat (RSA) akan dibangunkan berdekatan Persimpangan Tasik Tambahan agar pengguna boleh menikmati permandangan panorama Kuala Lumpur itu dengan selesa dan selamat pada masa akan datang.

Mohammad Azlan berkata hampir 100,000 kenderaan direkodkan menggunakan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) itu pada 24 jam pertama selepas fasa pertama dibuka kepada pengguna bermula 12 tengah hari, 16 Sept sehingga 12 tengah hari, 17 Sept. – Harian Metro, Bernama 

Google ads
"
"
Back to top button