Artikel Pilihan

BICARA TEKNIKAL: BAGAIMANA BEG UDARA SRS BEROPERASI

Beg udara SRS atau Supplementary Restraint System (Sistem Kekangan Tambahan) adalah satu alat keselamatan tambahan selain daripada tali keledar keselamatan. Tujuan pemasangan beg udara keselamatan ialah untuk mengurangkan risiko kecederaan pada pemandu dan juga penumpang hadapan sekiranya kenderaan mereka terlibat di dalam kemalangan jalan raya.

Bermula dengan hanya satu beg udara ditawarkan untuk pemandu, pemasangannya berkembang menjadi 2 beg udara untuk penumpang dan pemandu, beg udara sisi pemandu dan penumpang, curtain air bag atau beg udara sisi yang melindungi penumpang depan dan belakang dari rempuhan sisi dan juga beg udara khas untuk mengelakkan kecederaan lutut pemandu.

Semasa memandu ke arah hadapan, terdapat satu fenomena yang digelar inersia yang akan membuatkan penumpang dan pemandu terus bergerak pada halaju asal kenderaan walaupun kenderaan telah berhenti sepenuhnya. Jika tidak dikekang dengan tali keledar keselamatan, maka penumpang akan terus bergerak dan menghentam papan pemuka kenderaan dan pemandu akan merempuh roda stering

Penggunaan tali keledar sebenarnya mampu mencegah tubuh pengguna daripada tercedera secara umumnya. Namun bagi mengurangkan lagi kebarangkalian kecederaan pada muka, leher dan badan pemandu maka pemasangan beg udara mula diwajibkan oleh pihak berkuasa bermula sekitar tahun 2011.

Sejarah beg udara sebenarnya boleh dikesan semenjak tahun 1952 apabila jurutera tentera laut Amerika John W. Hetrick menfailkan paten beg udara dengan nombor 2,649,311 oleh pejabat paten Amerika pada 18 Ogos 1953. Manakala di Jerman seorang jurutera Walter Linderer mengusulkan paten beg udara pada 6 Oktober 1951 untuk kegunaan automotif. Kedua dua paten menggunakan angin tekanan tinggi untuk beroperasi

Pada tahun 1964, seorang lagi jurutera automotif berasal dari Jepun Yasuzaborou Kobori mengemukakan idea sistem beg udara yang menggunakan bahan letupan untuk mengembangkan beg udara. Idea tersebut menerima anugerah paten dari 14 buah negara dan digunapaka sebagai asas pembinaan beg udara yang lebih moden.

Model Mercedez pertama yang menawarkan beg udara

Sekitar tahun 1970an, Ford dan General Motor mula menawarkan kereta yang dilengkapi dengan beg udara bermula dengan kereta untuk kegunaan jabatan kerajaan. Namun penerimaan pengguna pada masa ini masih lagi rendah malah mereka juga malas untuk menggunakan tali pinggang keledar walaupun diwajibkan oleh undang-undang. Penggunaan beg udara mula diterima dengan meluas bermula sekitar 1990an.

Beg udara di dalam kereta dikawal oleh Airbag Control Unit yang menerima dan memantau input daripada sensor seperti accelerometer, sensor rempuhan, sensor halaju kenderaan, sensor jalaju golekan tayar, giroskop, sensor brake dan juga sensor tekanan kusyen ataupun tali pinggang keledar

Terdapat dua cara simpanan beg udara samaada disimpan dalam bentuk modul dan menggunakan penutup ataupun penutup airbag boleh terbuka dan terkoyak apabila beg udara mengembung. Apabila sensor mengesan kemalangan terjadi dan menentukan airbag untuk digunakan, ACU akan menghidupkan mekanisma letupan terkawal yang akan mengembangkan beg udara dalam masa 0.04 saat.

Sebaik sahaja beg udara mengembang, udara tersebut akan terus dikeluarkan melalui lubang yang dibuat khas agar muka dan badan penumpang tidak tercedera. Halaju beg udara ketika mengembang boleh mencecah 250km/j dan boleh menyebabkan kecederaan jika ia tidak terus dikempiskan segera. Teknik menghidupkan beg udara ini sebenarnya dipanggil piroteknik iaitu teknik yang sama untuk menghidupkan mercun dan pertunjukan bunga api.

Terdapat satu mekanisme yang dipanggil pemula atau suis elektrik yang terdiri daipada wayar elektrik yang dibalut dengan bahan mudah terbakar. Wayar ini boleh diaktifkan dengan arus elektrik serendah 1-3 ampere dalam masa kurang dari 2milisaat. Apabila panas wayar ini akan menyebabkan bahan pembalutnya terbakar seterusnya menghasilkan gas untuk mengisi beg udara. Gas Nitrogen yang terhasil akan mengambil masa 20-30 milisaat untuk mengembungkan beg udara. Beg udara biasanya akan mengembung dalam masa 60-80 milisaat selepas kemalangan terjadi.

Sistem beg udara yang terdahulu menggunakan campuran sodium azide (NaN3), KNO3, dan SiO2. Dalam masa 40 milisaat selepas impak kemalangan, kesemua komponen akan bertindak dalam 3 tindakbalas berbeza untuk menghasilkan gas Nitrogen menerusi persamaan kimia berikut

  1. 2 NaN3 → 2 Na + 3 N2 (g)
  2. 10 Na + 2 KNO3 → K2O + 5 Na2O + N2 (g)
  3. K2O + Na2O + 2 SiO2 → K2SiO3 + Na2SiO3

Gas Nitrogen yang dihasilkan merupakan gas lengai yang tidak bertindakbalas dan membahayakan kesihatan pengguna. Malah udara yang kita guna untuk bernafas mengandungi sekitar 70% gas nitrogen. Buat masa ini jurutera kimia sentiasa mencari bahan kimia yang lebih stabil dan bersifat kurang hygroscopic kerana semakin ia bersifat hygroscopic, semakin mudah ia menyerap kelembapan dari persekitaran dan seterusnya akan menyebabkan sistem menjadi sensitif.

Beg Udara Takata

Isu Keselamatan Berkaitan Beg Udara

Salah satu model beg udara yang dibuat dan dihasilkan oleh Takata Corporation menggunakan sebatian ammonium nitrat bagi menghasilkan gas nitrogen berbanding dengan sebatian Tetrazole yang lebih stabil dan mahal. Sebatian ammonium nitrat ini walaupun murah namun kelemahan utamanya ialah pendedahan yang lama pada suhu, cuaca dan iklim tropika yang panas dan lembap sepanjang tahun akan menyebabkan modul beg udara ini pecah ketika letupan terjadi dan menghantar serpihan besi pada muka dan badan pemandu.

Diantara tahun 1987-2015 beg udara telah menyelamatkan sekitar 44,869 nyawa daripada kematian ataupun kecederaan serius di Amerika. Mungkin angka tersebut akan meningkat jika semua rekod kemalangan di seluruh dunia direkodkan. Namun ia masih lagi sistem yang pasif dan perlatan tambahan untuk keselamatan. Oleh itu ia tetap dikenali dengan nama Supplementary Restraint System Airbag. Tali pinggang keledar masih lagi menjadi peralatan keselematan utama sekiranya anda terlibat di dalam kemalangan.

Manakala pengilang beg udara pula memerlukan lesen khas untuk menyimpan dan memasang beg udara disebabkan kandungan piroteknik yang ada risiko untuk meletup semasa proses pemasangan dan penyimpanan.

Ingat ye, pastikan anda sentiasa memakai tali pinggang keledar.

Google ads
Back to top button