Buletin

BILA SEJARAH JADI SENJATA, BEGINI CARA JENAMA KERETA LAMA LAWAN GERGASI EV CHINA!

“Orang China sekarang boleh bina kereta yang sangat-sangat bagus,” ujar seorang eksekutif Mercedes-Benz, sambil merujuk kepada sedan Xiaomi SU7 Ultra yang baru-baru ini (secara tidak rasmi) memadam rekod masa litar untuk kereta empat pintu milik Porsche Taycan Turbo GT.

Tetapi, katanya sambil menunjuk ke arah barisan kereta klasik mempesona di reruai Mercedes-Benz di acara Retromobile, Paris awal 2025, “mereka tak ada ini.”

‘Ini’ yang dimaksudkannya bukanlah sesuatu yang boleh dicapai dengan hanya teknologi atau pelaburan, tetapi warisan: sejarah jenama Mercedes-Benz yang hidup dalam bentuk logam, krom, getah dan kaca.

Dan dalam dunia automotif yang makin dipacu oleh teknologi baharu, sejarah lama mungkin satu-satunya pembeza yang tinggal.

Dalam era di mana pengeluar telefon pintar pun boleh mencipta kereta elektrik yang mampu menyaingi Porsche, pengeluar kereta lama – legacy brands – mula menyedari bahawa aset paling bernilai mereka bukanlah semata-mata teknologi atau kejuruteraan, tetapi cerita silam yang membentuk siapa mereka hari ini.

Ini bukan kali pertama kereta-kereta lama diberi nafas baharu. Kita pernah lihat gelombang ‘retro’ sekitar dua dekad lalu yang lahirkan model seperti New Beetle, Mini R50, Jaguar S-Type dan Ford Thunderbird.

Namun, kebanyakannya hanya mainan gaya, kereta berjiwa moden yang memakai topeng nostalgia. Mini mungkin satu-satunya yang benar-benar berjaya, kerana BMW membinanya bukan hanya dengan rupa, tetapi juga semangat asalnya.

Kini, jenama seperti Renault cuba lakukan perkara serupa. Dengan menghidupkan semula model ikonik seperti Renault 4 dan 5 dalam versi elektrik, mereka bukan sekadar menjual reka bentuk lama.

Menurut Arnoud Belloni, pengarah pemasaran global Renault, ramai pembeli hari ini, terutamanya yang berusia sekitar 50 tahun di Eropah, masih ada kenangan kuat terhadap model-model itu di jalanan Perancis.

“Kenapa kami perlu hasilkan kereta yang orang tak mahu, bila kami boleh bina kereta yang memang mereka cari?” katanya.

Renault juga mengambil langkah lebih jauh, menjadikan pelancaran semula ini sebagai gerakan budaya, dengan koleksi barangan seperti pakaian, mesin kopi, papan luncur dan beg yang menarik generasi muda.

Mercedes-Benz juga memahami perkara ini. Dengan menubuhkan unit khas Mercedes-Benz Heritage GmbH pada 2023, syarikat itu menyatukan segala aset sejarahnya, dari koleksi kereta klasik, muzium, arkib hingga kepada bahagian pemulihan dan alat ganti.

Ketua unit ini, Marcus Breitschwerdt, percaya warisan adalah jambatan kepada masa depan, bukan sekadar nostalgia.

“Melangkah dari enjin pembakaran dalaman ke motor elektrik bukanlah satu pecahan tradisi,” katanya. “Ia sebahagian dari kesinambungan semangat kami untuk meneroka teknologi baru.”

Namun, ada cabaran. Bagaimana membuat teknologi EV rasa mewah? “Bateri tak mencerminkan kemewahan,” akui Breitschwerdt. “Tak ada jam tangan bateri yang dianggap jam mewah.” Itulah dilema yang dihadapi Jaguar juga.

Konsep Type 00 dari Jaguar, yang dilancarkan hujung tahun lalu, tampak seperti menolak bulat-bulat segala identiti tradisional jenama itu.

Tiada keluk menawan, tiada kayu mahogani dalam kabin, tiada kilauan krom. Namun dalam keterampilan ekstrem itu, Jaguar tetap cuba kekalkan naratif asal: berani, unik, tiada salinan.

Ketua reka bentuk luaran, Tino Segui berkata, “Type 00 menyerlah, seperti model Jaguar terbaik dari masa lalu.”

Bagi ketua kreatif JLR, Gerry McGovern, kesilapan Jaguar adalah terlalu terikat pada masa silam. “Sir William Lyons kata Jaguar mesti jadi sesuatu yang tiada tiruan,” jelasnya.

Bahaya di sini ialah mesejnya terlalu halus. Kereta-kereta baru Jaguar mungkin terlalu jauh dari memori kolektif orang ramai tentang maksud sebenar logo itu.

Ford pula memberikan contoh bagaimana pendekatan warisan boleh tersasar. Model Capri elektrik baharu cuba menunggang nostalgia tetapi tanpa jiwa asli, dan hasilnya, sama seperti Mustang Mach-E, terasa seperti helah pemasaran yang hambar.

Walaupun China tak punya sejarah panjang dalam automotif, mereka boleh ‘membelinya’. Lihat saja bagaimana Geely menguruskan Volvo. Kereta-kereta keluaran selepas pengambilalihan masih punya ‘jiwa’ Volvo, walaupun dipasang di kilang luar Sweden.

Namun, Geely bergelut dengan Lotus, SUV seperti Eletre dan Emeya sukar diserasikan dengan semangat Colin Chapman yang sinonim dengan ringan dan ringkas.

Yang paling berjaya mungkin LEVC Taxi, van hibrid moden yang mengambil ilham reka bentuk dari teksi klasik Austin FX4, tetapi dengan keselesaan dan teknologi serba baharu. Inilah contoh bagaimana sejarah boleh ditafsir semula dengan tepat.

Persoalannya, adakah taruhan terhadap sejarah ini akan berhasil?

Untuk jangka pendek, ia mungkin memberikan kelebihan buat jenama lama menghadapi pesaing baharu yang semakin pantas menyesuaikan diri.

Tetapi, ia bukan jaminan kekal. Xiaomi sudah membuktikan bahawa warisan bukan satu-satunya jalan ke hadapan, mereka sedang membina sejarah mereka sendiri, satu rekod litar pada satu masa.

Google ads
Back to top button