
BMW 2 SERIES COUPE
Minggu lalu, BMW mengumumkan pengenalan model siri serba baharu menerusi BMW 2 Series Coupe. Ia merupakan pengganti kepada model 1 Series Coupe yang telah bertahan selama beberapa dekad sebagai coupe sub kompak premium.
BMW 2 Series Coupe akan melakukan debut dalam Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara pada Januari 2014. BMW mendakwa jentera ini meletakkan satu penanda aras baharu dari segi dinamik pemanduan, tarikan estetik dan emosional.
Coupe itu dibina di atas konsep kenderaan yang unik dalam segmennya. Apa lagi kalau bukan rekaan model dua pintu dengan reka bentuk tiga kotak yang tipikal untuk sebuah coupe daripada BMW dan menggunakan pacuan roda belakang.
Sementara talaan enjin dan chasisnya pula difokuskan kepada pemanduan sporty. Bagi pasaran Amerika Syarikat, BMW 2 Series Coupe ditawarkan dalam dua varian iaitu 228i dan M235i.
BMW 228i Coupe menggunakan khidmat unit enjin BMW TwinPower Turbo. Ia merupakan model sub kompakBMW pertama yang dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 liter berkuasa 240hp.
Manakala varian BMW M235i pula menjadi model BMW M Performance Automobile paling berkuasa. Ia dipasang enjin petrol M Performance 3.0 liter dengan teknologi TwinPower yang mampu menjana 322hp dan tork 450Nm!
Memandangkan ini ialah model M, maka ia dilengkapi chasis talaan M, suspensi Adaptif M, sistem brek M Sport, stereng sport boleh ubah dan tayar Michelin Pilot Super Sports. Malah, sistem ekzosnya juga telah menerima talaan khas.
Tahap kecekapan jentera berkuasa tinggi itu ditingkatkan menerusi aplikasi teknologi BMW EfficientDynamics. Ini termasuklah sistem Air Curtains dan fungsi Auto Start/Stop yang disertakan bersama untuk varian bertransmisi manual atau automatik.
Ruang kabin BMW 2 Series Coupe dibina supaya fokus kepada pemandu. Sistem operasi iDrive dijadikan sebagai ciri standard, termasuklah paparan kawalan bersaiz 6.5 inci. Paparan eksklusif tersebut adalah sebahagian daripada reka bentuk skrin rata BMW.
Pilihan sistem bantuan pemanduan tambahan dan servis mobiliti BMW ConnectedDrive nyata membuatkan BMW 2 Series Coupe sukar ditandingi dalam segmen sub kompak premium.
[hr] Galeri












