
HONDA DUNK 50CC
Dalam acara Tokyo Motor Show 2013 pada November depan, Honda Motor Co. Ltd. akan mengetengahkan pengganti model motosikal lagenda buatannya, Honda Cub 50cc.
Bakal dikenali sebagai Honda Dunk, motosikal bersesaran 50cc itu bagaimanapun hanya untuk pasaran domestik Jepun. Ia dilengkapi sebuah enjin dengan sistem penyejukan cecair yang baru dibangunkan.
Ketua Penyelidik di Institut Penyelidikan Teknikal Honda, Koji Miwa menyatakan Dunk 50 disasarkan untuk kelompok pelanggan yang muda, semuda pelajar sekolah menengah.
Ketika membangunkan Dunk, Honda telah menimbang pelbagai faktor. Misalnya, apa yang pelajar sekolah menengah inginkan pada sebuah skuter atau apakah gaya yang mereka mahu sebelum mereka bentuk Dunk.
“Ketika kebanyakan skuter didatangkan dengan kotak penyimpanan barang, kami tidak memasukan ciri itu pada Dunk. Sebabnya, majoriti pelajar sekolah menggunakan beg galas. Jadi mereka memang tidak meletakkan beg di dalam kotak penyimpanan tersebut,” jelas Miwa.
Tampil lebih bergaya, meter laju diletakkan pada bahagian tengah hendal motosikal. Reka bentuknya pula memberi impresi seperti sebuah telefon pintar. Sebagai tambahan kepada rekaan tersebut, satu soket pengecas telefon bimbit disediakan. Sebuah jam analog juga dipasang untuk kemudahan penunggang.
“Demi mendapatkan spesifikasi yang mesra alam dan output kuasa maksimum, Dunk menggunakan enjin OHC empat lejang daripada enjin siri eSP yang baru dibangunkan,” tambah Miwa.












