Buletin

BMW CONCEPT SKYTOP, SENI 2 PINTU DARI JERMAN!

Walaupun mempesonakan, kereta coupé dua pintu tidak mempunyai pasaran yang besar. Keadaan itu bukan penamat dan gaya coupé diteruskan pada sedan empat pintu dan kenderaan utiliti sukan (SUV).

Di antara perasan atau tidak, jenama premium dari Jerman tekal menawarkan coupé. BMW, Mercedes-Benz dan Audi semuanya menawarkan coupé dua pintu sama ada bumbung kekal atau boleh buka.

Bukan biasa, coupé keluaran mereka menjadi pentas untuk mempamerkan gaya dan prestasi.

Terbaru BMW mempertontonkan Concept Skytop di Itali dan membawa pengaruh Z8.

Terus-terang dikatakan, kereta dengan bumbung targa ini memang cantik dengan lampu nipis, jeriji buah pinggang yang tidak berlebihan, bahagian sisi yang berotot dan Hofmeister Kink atau bucu pada tiang B.

Bahagian belakang pula nampak moden dan introvert dengan lampu nipis dan garisan ringkas. Ini adalah objek seni dari Jerman.

Dari bumbung atau belakang boleh dilihat sirip tengah atau tiga sirip jika dikira dari sisi kanan dan kiri kereta. Bumbung kereta terdiri daripada dua bahagian dan boleh disimpan di ruang simpanan bagasi.

Pada bahagian dalam, BMW Concept Skytop cantik dan klasik dengan warna coklat kemerahan untuk perkakasan yang ‘dipinjam’ dari 8 Series.

Warna badan dan permukaan dalaman adalah hasil karyawan kilang Kumpulan BMW di Bavaria, Dingolfing, Jerman.

Berkenaan rangkaian kuasa, BMW mengakui terdapat persamaan dengan varian enjin Z8 dan Concept Skytop juga dibekalkan enjin V8 paling berkuasa di dalam portfolio BMW (lebih 600 hp?).

Walaupun sekadar konsep, terdapat laporan mengatakan Concept Skytop sedang dipertimbangkan untuk dijual dalam jumlah terhad.

Kami yakin terdapat permintaan khusus untuk BMW Concept Skytop dikeluarkan dan sudah ada pembeli yang bersedia untuk membayar sejumlah wang bagi objek seni dari Jerman ini.

Google ads
Back to top button