Motosikal

TERKINI: KAWASAKI NINJA ZX-6R CKD LANCAR DI MALAYSIA JANUARI 2025 – BAWAH RM70K

Kami telah ke Gurun, Kedah bagi menyaksikan sendiri persiapan Modenas untuk mengeksport Kawasaki Ninja ZX-6R generasi terbaru ke pasaran China bermula tahun ini. 

Ini kerana Modenas bukan sahaja bertanggungjawab memasang Ninja ZX-6R (CKD) untuk pasaran tempatan malah mengeksport motosikal supersport bersesaran 600cc itu ke China terlebih dahulu. 

Dalam perkembangan terbaru, kami diberitahu bawaha Ninja ZX-6R itu akan dilancarkan di Malaysia pada Januari 2025. Menariknya, sumber turut memberitahu motosikal berkenaan akan dijual pada harga bawah RM70 ribu.

Sebagai model bersesaran bawah 650cc, apakah Ninja ZX-6R ini akan membawa lencana Kawasaki atau Modenas masih lagi menjadi tanda tanya. Apa pun, kemasukan model pemasangan tempatan ini pastinya menggembirakan ramai pihak terutamanya mereka yang mahukan jentera yang dibangunkan untuk litar lumba dengan harga yang lebih rendah.

Untuk rekod, Ninja ZX-6R yang akan dipasarkan ke China dan Malaysia itu merupakan model generasi terbaru yang telah menerima beberapa naik taraf signifikan. 

Selain dari reka bentuk lampu hadapan baharu, panel badan sisi juga berbeza berbanding generasi sebelumnya. Namun, beberapa aspek termasuk kerangka utama dan tangki masih lagi sama. 

Bagaimanapun, naik taraf terbesar memfokuskan bahagian enjin yang telah dinaik taraf bagi mencapai emisi Euro 5 terbaru. Ninja ZX-6R ini juga dikemas kini dengan panel meter TFT 4.3-inci baharu.

Antara usaha lain untuk memodenkan ZX-6R adalah dengan menawarkan empat mod baharu; Sport, Road, Rain dan Rider dengan setiap mod dipadankan bersama tetapan ‘traction control’ dan kuasa berbeza; Low atau Full. Sementara itu, mod Rider membolehkan penunggang membuat tetapan mengikut kesesuaian sendiri. 

Bagi mencapai emisi Euro 5, Kawasaki menaik taraf profil cam yang melancarkan aliran kuasa pada rpm rendah namun tindakan itu tidak membantu dalam meningkatkan kuasa puncak. Meskipun begitu, enjin empat silinder 636cc itu berupaya menjana 122hp pada 13,000rpm dan 70Nm pada 11,800rpm. Menariknya, Kawasaki mendakwa kuasa puncak hadir 500rpm lebih awal. 

Meskipun begitu, ZX-6R baharu ini masih lagi mengekalkan suspensi Showa Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) dan monoshock yang sama seperti model sebelumnya. Namun, pakej brek di pertingkat kepada cakera brek 310mm yang dipadankan bersama tayar Pirelli Diablo Rosso IV. 

GALERI: KAWASAKI NINJA ZX-6R

Google ads
Back to top button