
LEXUS LM 2024 RASMI DILANCARKAN – TAWAR DUA VARIAN, JANA 371HP, HARGA BERMULA RM1.228 JUTA
Lexus Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan Lexus LM generasi kedua untuk pasaran Malaysia.
Lexus LM baharu kini tersedia dalam dua varian pilihan, Lexus LM500 dengan tempat duduk 2-2 serta LM350h tujuh tempat duduk dengan konfigurasi tempat duduk 2-2-3.
Lexus LM dibangun menggunakan platform serba baharu TNGA-K, mempunyai ukuran dimensi 5,125 mm (+ 85 mm), lebar 1,890 mm (+40 mm), tinggi 1,955 mm (+45 mm) dan jarak roda diletakkan pada 3,000 mm.
Selain itu, Lexus juga meningkatkan aspek aerodinamik, mampu mencapai angka pekali seretan (Cd) serendah 0.33 hingga 0.34.
Dari luaran, Lexus LM dipadankan bersama spindle Grille, unit lampu projektor LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, unit lampu belakang dengan rekaan baharu serta rim aluminium berbilang jejari bersaiz 19-inci.

Lexus LM generasi kedua ini tersedia dalam empat warna luaran iaitu:
- Graphite Black Glass Flake
- Sonic Titanium
- Sonic Quartz
- Sonic Agate
Selain itu, ia turut didatangkan dnegan pegangan pintu hadapan luar yang menggunakan sistem e-Latch dengan fungsi ‘Safe Exit Assist’ (SEA).
Ciri berkenaan dapat membantu mengurangkan pelanggaran tidak diingini oleh kenderaan yang mendekati dari belakang.
Di bahagian dalam, ia dilengkapi skrin lebar bersaiz 48-inci, skrin kluster digital 12.3-inci, skrin infotainment 14-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto berwayar.
Perincian lain termasuklah sistem pencahayaan ambien lima tema dan 14 warna, bumbung suria terpisah, tirai pelindung cahaya matahari, serta sistem audio Mark Levinson.

Bukan itu sahaja, Lexus LM turut menerima kelengkapan seperti sistem Active Noise Control untuk menjadikan ruang kabin yang lebih senyap, manakala tempat duduk baris kedua didatangkan bersama fungsi larasan kedudukan, sokongan postur badan, perehat kaki ottoman, fungsi urut, fungsi pengaliran udara, meja boleh lipat serta alat kawalan jauh Rear Multi Operation Panel mudah alih.
Untuk ruang, Lexus LM tiba dengan ruang kargo sebesar 752 liter untuk varian LM500h sementara, varian LM350h, memiliki ruang sehingga 1,191 liter.
Tak cukup dengan itu, terdapat ruang barangan bawah lantai bagi varian LM500h dan tempat duduk baris ketiga LM350h boleh dilipat ke sisi bagi memberikan ruang lebih luas.
Beralih pada kuasa, Lexus LM350h dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 2.5 liter serta dijana motor elektrik tunggal.
Nadi berkenaan berupaya menghamburkan kuasa 190hp dan 239Nm manakala motor elektrik menghasilkan 182hp dan 270Nm, sekaligus memberikan kuasa gabungan sehingga 250hp.
Lexus LM500h pula dipacu oleh enjin 2.4 liter turbo, menghasilkan 275hp, tork 460Nm, dipadankan dengan motor elektrik gandar depan, menjana 87hp serta 292Nm tork, dan motor elektrik gandar belakang, menghasilkan 103hp dan 169Nm tork, memberikan kuasa keseluruhan 371hp.
Kedua-dua varian didatangkan dengan pek bateri NiMH (nickel metal hydride) dengan sistem pengecasan kendiri.
Untuk rekod, Lexus LM menawarkan sehingga lima mod pemanduan, iaitu Normal, Eco, Sport, Custom, dan Rear Comfort.
Bagi ciri keselamatan, Lexus LM dilengkapi dengan Lexus Safety System+ (LSS+) generasi terkini, merangkumi;
- Sistem Pra-Pelanggaran (PCS)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)
- Amaran Keluar Lorong (LDA)
- Bantuan Pengesan Lorong (LTA)
- Tujuh beg udara SRS (standard)
- Enam beg udara untuk varian LM500h
Untuk harga pula, perincian adalah seperti berikut:
- Varian LM350h: RM1,228,000
- Varian LM500h: RM1,468,000
GALERI:






- BACA: BHPETROL TERLIBAT DALAM SKDS 2.0, JEMPUT SYARIKAT PENGANGKUTAN DARAT DAN BARANGAN UNTUK MENDAFTAR
- BACA: NISSAN QASHQAI DI UNITED KINGDOM- TERUS MENDAPAT SAMBUTAN SEMENJAK 18 TAHUN LEPAS
- BACA: 174 KABEL PENGECASAN EV DICURI – SYARIKAT PENGENDALI PENGECASAN DI UK PENING KEPALA
- BACA: 5 PERKARA TARIK PERHATIAN PENCURI KERETA – JANGAN SAMPAI JADI MANGSA GAIS




