
BMW i16 IALAH PENGGANTI i8 YANG DIBATALKAN KEWUJUDANNYA – RUGI LA MACAM TU
BMW i8 ialah sebuah model yang istimewa untuk BMW. Ia menggabungkan rekaan yang menarik pandangan dan langsung tidak serupa dengan model-model lain keluaran mereka. Ia juga menggunakan trenkuasa hibrid plug-in yang berkuasa. Terbaharu, ketua pereka BMW, Domagoj Dukec dedahkan mengenai pengganti i8 yang dibatalkan pengeluarannya dan dikenali dengan nama i16.
Dukej sendiri terlibat dalam rekaan i16 dan tidak hairanlah beliau sedikit kecewa bila projek tersebut dibatalkan. Ia sebenarnya mengambil inspirasi daripada model konsep Vision M Next Concept yang didedahkan kepada umum di persidangan BMW NextGen Munich 2019.

Jika dihasilkan Vision M Next Concept bakal menggunakan enjin 4 selinder bantuan hibrid dengan kuasa maksima keseluruhan 600hp. Ia mampu mencecah kelajuan 100kmj hanya dalam masa 6 saat dan kelajuan maksimanya ialah sekitar 300kmj. Kalau i16 memasuki produksi rasanya ia akan menghasilkan kuasa dan pecutan yang serupa.
Dukej menerangkan yang i16 turut mengambil ilham dari M1. Malah pandangan kami sendiri pun nampak macam tu juga. Kalau tak pernah tengok M1 memang tak akan perasan persamaan antara keduanya.

Jika diproduksikan i16 turut akan menggunakan struktur monocoque yang diperbuat daripada plastic yang diperkuatkan dengan serat karbon sama seperti i8.
Dukej turut menerangkan yang projek ini gagal kerana dimulakan pada masa yang tidak sesuai dan perniagaan yang terjejas akibat wabak pandemik Covid 19 pada tahun 2020. Ia menyebabkan projek ini dibatalkan oleh BMW dan laporan pada masa itu juga menyebut kemungkinan jualan yang rendah membuatkan pihak atasan mengambil langkah menamatkannya terus.
Jika produksi i16 diteruskan, ia sepatutnya dilancarkan sekitar tahun 2022. Bermakna ia akan muncul dua tahun selepas i8 ditamatkan pengeluarannya. Tapi sayangnya ia tidak berlaku seperti sepatutnya dan i16 menjadi mangsa wabak pandemik sama seperti nyawa-nyawa yang melayang ketika itu.
