Artikel Pilihan

KOKPIT BAHARU FERRARI BOLEHKAN ANDA MENUKAR POSISI PEMANDUAN MENGIKUT KEMAHUAN ANDA – SANGAT BIJAK

Paten baharu Ferrari ni sangat bijak dan mungkin menyebabkan ramai menyangka ia cuma simulator perlumbaan. Tapi percayalah ia bakal menjadi realiti di mana pemandu boleh menukar sistem kawalan kereta dan tempat duduk mengikut kemahuan mereka. Nak pemanduan sebelah kanan (RHD), pemanduan belah kiri (LHD) ataupun mahu posisi tengah ala jentera perlumbaan. Semua bisa diatur dong.

Ia mungkin bakal menjadi sebuah model grand touring terhebat dan membolehkan anda melakukan kembara merentas negara yang mempunyai jalinan jalan raya yang berbeza tanpa sebarang masalah. Kalau tiba-tiba datang semangat berlumba tu, tukar terus duduk tengah-tengah. Tapi kami nasihatkan pandu je ikut undang-undang dan peraturan halaju yang ditetapkan.

Sudah tentu fungsi ini adalah mustahil jika sistem kawalan menggunakan penghubung ataupun kabel seperti kebiasaan. Untuk membolehkan sistem ini beroperasi sepenuhnya kesemua sistem kawalan mesti dikawal oleh komputer. Contohnya kenderaan seperti Cybertruck dengan fungsi steer-by-wire, brake-by-wire malah klac pun dikawal by-wire.

Paten terbaru Ferrari ini juga boleh digunakan untuk kenderaan dengan tiga pedal cuma tidak diterangkan bagaimana ia boleh digunakan untuk kereta dengan transmisi manual. Mungkin tombol gear diletakkan di bahagian papan pemuka sama seperti roda stereng kot?

Secara asasnya, roda stereng dan kotak pedal akan digerakkan sekali dengan tempat duduk pemandu dan tentu sekali ia akan melibatkan wayar sistem kawalan. Memang ada sistem bebas wayar yang mungkin satu hari akan menjadi kenyataan tapi buat masa sekarang menurut Ferrari mereka boleh menggunakan rantaian sokongan kabel. Semuanya akan bergerak serentak mengikut posisu yang dipilih dan selepas itu barulah ia boleh dilaras mengikut keperluan.

Melihat kepada paten-paten ini adakah pasukan R&D Ferrari sedang cuba menghasilkan model Transformers mereka sendiri. Bukan untuk sebuah kereta bertukar menjadi robot tapi lebih kepada kereta jalanan bertukar menjadi sebuah jentera perlumbaan dengan sentuhan suis. Asalkan jangan bagi sistem kawalan pelik-pelik yang perlu dipilih dari menu yang berserabut pada skrin paparan dah la.

Nampaknya walaupun teknologi semakin berkembang, Ferrari tidak pernah kekurangan idea dalam menghasilkan supercar di bawah jenama mereka. Tapi sejujurnya kami memang tertarik dengan idea ni. Bayangkan tengah drive keseorangan dengan satu sentuhan suis terus Axia rahmah korang menjelma menjadi jentera F1 (pada posisi memandu je lah).

Google ads
"
"
Back to top button