
PAGANI ZONDA HP BARCHETTA. HYPERCAR TERMAHAL DI DUNIA!
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas tentang perihal sebuah jentera eksotik dari ItalI. Jentera tersebut ialah sebuah Pagani Zonda HP Barchetta.
Dengar nama pun dah eksotik. Orang Italy kalau bagi nama memang gempak.
Kita pergi kepada pembangunan jentera ini. Jentera ini dibina sebagai “Tribute” kepada pengasas Pagani iaitu Horacio Pagani. Ia juga dihasilkan sempena ulangtahun ke-18 syarikat Pagani. Dah lama rupanya hidup Pagani ni.
Kemudian pada nama jentera ini terdapat perkataan “Barchetta”(disebut Bar’ketta). “Barchetta” bermaksud rekaan jentera ini yang tiada bumbung dan hanya mempunyai 2 tempat duduk. Tiada bumbung pula membawa definisi mudah. Memang langsung tiada bumbung, tiada “Soft Top” mahupun “Hard Top”.
Sekarang kita pergi kepada cesi jentera ini. Cesi jentera ini dibuat daripada material “Carbotanium”, iaitu campuran “Beta Titanium Alloy” bersama “Advanced Carbon Composite”. Namun, tidak semua varian jentera Pagani menggunakan “Carbotanium” sebagai material asas cesi. Ianya merupakan kejuruteraan serta gabungan teknologi yang kompleks dan semestinya memakan kos yang sangat tinggi.
Oleh itu, hanya sesetengah varian sahaja yang menggunakan cesi jenis ini dan varian HP Barchetta adalah salah satunya. Kuat ? Sangat. Ringan ? Sangat. Mahal ? Sangat sangat.
Seterusnya kita pergi kepada suspensi jentera ini. Sistem yang digunapakai adalah dari jenis “Double Wishbone” bagi suspensi depan dan belakang. Ianya dibantu oleh unit “Adjustable” daripada Ohlins pada keempat-empat bahagian.
Tugas untuk memberhentikan jentera ini diberi kepada unit rotor bersaiz 380mm diapit oleh angkup brek 6-piston pada bahagian hadapan dan 4-piston pada bahagian belakang. Kemudian, rim yang digunakan pula adalah bersaiz 20 inci pada bahagian hadapan dan 21 inci pada bahagian belakang. Ikatan rim pada hub menggunakan “Centerlock”, bukan 4 lubang bukan 5 lubang mahupun 3 lubang seperti lagenda Proton Tiara. Satu lubang sahaja.
Tugas untuk menggerakkan jentera ini diserahkan kepada enjin M297 V12 NA daripada Mercedes Benz AMG yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 789hp dan daya kilas sekuat 850Nm !
Kuasa kemudian dihantar kepada kotak gear 6-kelajuan Manual dan seterusnya dihantar kepada tayar belakang. Manual Tuan-Tuan ! Bukan Dual Clutch mahupun Automatik, 3 pedal !
Bahagian kemasan dalaman pula diserikan dengan kemasan kulit serta campuran fabrik eksklusif. Kebanyakan komponen dalaman dikongsi bersama dengan model Pagani Huayra BC termasuklah kerusi pemandu dan penumpang.
Jika dilihat ruang kabin, tiada sistem infotainment moden. Hanya unit radio, corong penghawa dingin dan meter kluster sahaja. Unit roda stering pun sangat ringkas dengan butang hon di tengah. Tiada butang pelik-pelik dan sistem yang kompleks.
Bahagian luaran jentera ini seperti yang anda lihat. Sebuah rekaan agung yang tidak jauh beza daripada varian Zonda yanGg lain. Cuma jentera ini menerima penutup tayar belakang yang diperbuat daripada “Carbon Fibre” bagi menyerlahkan lagi ciri-ciri unit jentera ini.
Inilah dia Tuan-Tuan, Pagani Zonda HP Barchetta. Hanya 3 unit dihasilkan di dunia dan unit pertama dimiliki oleh Horacio Pagani sendiri. 2 unit lain dimiliki oleh pembeli misteri. Dengan tag harga sekitar RM73.6 juta sebelum cukai pastinya jentera ini hanya layak dimiliki oleh seseorang yang kaya dan berpengaruh.
Dengan tag harga seperti ini juga jentera ini dinobatkan sebagai jentera baru paling mahal di dunia mengenepikan Rolls Royce Sweptail dan Bugatti La Voiture Noire.
Sebuah jentera bersesaran 7.3L, 6-kelajuan manual dan tiada bumbung berharga RM73.6 juta. Hahaha.
Saya pun tak tahu nak komen apa. Mahal ? Bagi kita, bagi “mereka” murah je ni. Kenapa ? Banyak lagi objek-objek yang lagi mahal dari jentera ini di dunia ini. Sebagai contoh, jam tangan Patek Philippe Grandmaster Chime Ref. 6300A yang berharga RM130 juta. Harga jam tangan je boleh beli jentera ni siap dapat duit lebih lagi oi ! Orang kaya lain mainannya.