BMW TERUS KUASAI SEGMEN PREMIUM DI MALAYSIA. CATAT SERAHAN 10,500 UNIT PADA TAHUN 2021
BMW Group Malaysia sekali lagi mendahului segmen premium di Malaysia apabila mencatat penyerahan lebih 10,500 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2021 dengan lebih 16 peratus daripadanya merupakan jentera berelektrik.
Angka itu menjadikan jumlah keseluruhan kenderaan berelektrik BMW dan MINI Malaysia kepada lebih 21,600 unit.
Secara lebih terperinci, jenama BMW berjaya menyerahkan lebih daripada 8,400 buah kenderaan untuk menguasai 47 peratus perkongsian pasaran segmen premium. Sementara MINI berjaya menyerahkan lebih 940 unit untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama nombor tiga dalam segmen premium di Malaysia.
BMW Motorrad Malaysia pula menduduki tempat pertama dalam pasaran motosikal berkuasa tinggi di Malaysia melebihi 500cc pada tahun 2021 dengan lebih 1,100 unit telah diserahkan kepada pelanggan. Ia juga mencatat 20 peratus perkongsian pasaran pada tahun lalu.
Di Malaysia, BMW 3 Series kekal cemerlang apabila menyumbang 28 peratus atau 2,400 unit pada tahun 2021. Ia diterajui oleh BMW 320i Sport, manakala BMW 2 Series memotong jualan BMW 5 Series buat pertama kalinya dengan 1,270 unit. 99 peratus disumbang oleh BMW 218i Gran Coupe yang diperkenalkan pada Oktober 2020.
BMW 5 Series mengekori rapat dengan 1,150 unit, diterajui oleh BMW 530i M Sport. Tiga model paling laris di Malaysia daripada BMW 2 Series, BMW 3 Series dan BMW 5 Series dipasang di dalam negara.
Sepanjang 2021, model Sports Activity Vehicles (SAV) daripada keluarga BMW X mengekalkan momentum daripada tahun sebelumnya apabila berjaya mencatat lebih 3,200 penyerahan untuk menyamai prestasinya pada tahun 2020. BMW X1 kekal sebagai model terlaris bagi BMW X dengan lebih 960 unit.
Prestasi MINI pada tahun 2021 telah menyaksikan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Ia diterajui oleh model MINI Countryman yang menyumbang lebih daripada 68 peratus kepada portfolio MINI.
Kenaikan trend mobiliti berelektrik turut ditunjukkan oleh jenama MINI. Bagi tahun 2021, lebih 16 peratus daripada semua kenderaan MINI yang diserahkan adalah berelektrik, berbanding tahun 2020 dengan hanya 7 peratus.
Selain menduduki tempat pertama dalam segmen motosikal 500cc dan ke atas, BMW Motorrad Malaysia juga merekodkan pertumbuhan sebanyak 5 peratus pada tahun 2021.
Model adventure mendahului jumlah penyerahan dengan 657 unit. Sebahagian besarnya disumbang oleh model BMW R 1250 GS Adventure dalam edisi ulang tahun GS ke-40. Ia diikuti oleh segmen jelajah dengan 159 unit yang lebih 65 peratus disumbang oleh BMW R 1250 RT.