Buletin

BOLEH BAWA SEHINGGA 7 ORANG PENUMPANG DI DALAM KENDERAAN PERSENDIRIAN MULAI HARI INI

Mulai hari ini (27 Mei), kerajaan membenarkan maksimum tujuh individu termasuk pemandu berada di dalam kenderaan persendirian. Jumlah itu bagaimanapun bergantung kepada kapasiti kenderaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut telah diwartakan di dalam Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 6) (Pindaan) 2020.

“Bagi kenderaan persendirian, pemandu boleh membawa penumpang mengikut kapasiti kenderaan masing-masing yang dikawal selia oleh Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Akta 333.

“Jika kapasiti (kenderaan) adalah empat penumpang, maka pemandu campur dengan tiga penumpang, empat (penumpang) satu kereta, ini untuk kereta biasa.

“Tetapi untuk kenderaan seperti MPV (kenderaan pelbagai guna), dia boleh satu (pemandu) campur enam (penumpang). Ia boleh sehingga maksium tujuh orang sebab bahagian tempat duduk belakang panjang, ia boleh duduk bertiga. Tiga, dua, satu dan campur dengan pemandu, jadi boleh sampai tujuh.

“Peraturan ini akan berkuat kuasa mulai esok, 27 Mei 2020,” katanya dalam sidang media hariannya di Putrajaya semalam.

Terdahulu, Ismail Sabri berkata kerajaan sudah membenarkan pemilik kenderaan persendirian membawa sehingga enam penumpang bergantung kepada kapasiti kenderaan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada peraturan tersebut sudah diwartakan atau sebaliknya. – Astro Awani

Tags
Google ads
Back to top button