Buletin

VIDEO TULAR BERNIAT JAHAT. TIADA LARANGAN PENUMPANG KERETA DUDUK DI HADAPAN ATAU BELAKANG

Tiada larangan penumpang kereta di tempat duduk depan atau belakang, asalkan tidak melebihi dua orang di dalam kenderaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semalam terdapat penularan video kononnya pemandu kenderaan disaman pihak polis kerana isterinya duduk di bahagian penumpang hadapan.

 “Tiada ketetapan bahawa seorang perlu duduk di bahagian hadapan dan seorang lagi di belakang.

“Bahkan, satu keluarga dari rumah yang sama, tidak perlu pakai pelitup muka pun dalam satu kenderaan bukan satu kesalahan prosedur operasi standard (SOP),” katanya dalam sidang media.

Ismail Sabri berkata beliau dimaklumkan tindakan diambil kerana pemandu menggunakan telefon ketika memandu.

Beliau menjelaskan ia diedarkan seolah-olah pihak polis tidak menggunakan budi bicara dan mengambil tindakan kejam.

“Saya dimaklumkan video itu adalah nampak berniat jahat untuk merosakkan nama pihak polis.

“Ia berikutan yang disaman bukan kerana isteri duduk di sebelah tetapi pemandu menggunakan telefon semasa memandu kereta,” ujarnya.

Beliau menjelaskan pihak polis tidak boleh membiarkan perkara tersebut dan perlu mengambil tindakan segera kerana akan memburukkan imej pihak polis.

“Jangan fikir boleh terlepas, pihak polis bukan sahaja boleh mengambil tindakan terhadap pembuat video tetapi yang menyebarkan video terbabit,” katanya.

Google ads
Back to top button