" "
Buletin

ORANG RAMAI DAH BOLEH RENTAS NEGERI BERMULA ISNIN INI KECUALI KAWASAN PKPD

Pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula Isnin ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bermula Isnin ini juga, polis tidak lagi akan melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Seperti yang saya katakan, perlu ada keseimbangan antara keperluan ekonomi dan menjaga kesihatan. Seperti yang kita tahu 31 Disember ini, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berakhir tetapi kita masih belum tahu sama ada akan disambung atau sebaliknya.

“Jadi beberapa kelonggaran dipersetujui. Antaranya bersetuju supaya rentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali kawasan PKPD,” katanya pada sidang media.

Ismail menambah semua kenderaan dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing.

Bagaimanapun, beliau berharap agar setiap dari kita menjaga keselamatan diri masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan.

“Vaksin terbaik masa kini bagi menangani Covid-19 ini adalah diri kita sendiri dengan mengikut norma baharu kehidupan. Tanpa perubahan sikap masyarakat (behaviour change) & pematuhan SOP, kita tidak akan berjaya,” tegasnya.

Google ads
Back to top button