Buletin

BONGKAH TANAH JENTUAI ANCAM KESELAMATAN ORANG PERLIS

Setiap kali musim menuai padi tiba, penduduk di Perlis akan mengeluh kerana masalah jentuai meninggalkan bongkah tanah atau dikenali sebagai ‘taik mesin’ di atas jalan raya terus berlaku seakan tiada penghujungnya. 

Apa yang pasti, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengotorkan dan merosakkan struktur jalan. Malah boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal.

Seorang pekerja kedai serbaneka Mohd Afiq Saidin, 31, berkata pada tahun ini sahaja dia sudah dua kali jatuh motosikal akibat terlanggar bongkah tanah di atas jalan yang ditinggalkan oleh jentuai.

“Pada 14 Februari lepas, kali kedua saya jatuh motosikal selepas gagal mengelak ‘taik mesin’ (bongkah tanah) ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Jalan itu agak gelap menyebabkan saya tidak nampak bongkah tanah sebesar baldi yang keras seperti batu di tengah jalan. Mujur saya hanya mengalami luka kecil pada tangan,” katanya kepada Bernama.

Zharif Yahya, 41, yang turut berkongsi pengalaman yang sama memberitahu isu itu bukan baharu, sebaliknya sudah lama berlaku.

“Kalau tak percaya, boleh tanya sendiri orang kampung, berapa ‘kerat’ (beberapa orang sahaja) yang tidak pernah jatuh motosikal akibat terlanggar taik mesin,” katanya.

Sementara itu, pengusaha jentuai yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 49, berkata mereka terpaksa menggunakan jalan raya kerana harga sewa lori pengangkut setinggi RM300 untuk satu perjalanan.

“Kos yang tinggi ini tidak berbaloi untuk pemindahan jentera dalam jarak dekat,” katanya yang sudah 10 tahun menguruskan perusahaan mesin menuai padi keluarganya.

Mat berharap kerajaan negeri dapat menambah jalan ladang bagi membolehkan kerja-kerja pemindahan jentuai dibuat tanpa perlu melalui jalan raya.

“Jalan ladang yang ada hanya terhad di beberapa kawasan sahaja. Jika ada jalan ladang di semua kawasan, kita tidak perlu guna jalan raya untuk alih jentuai,” katanya.

Mohd Sharoni Ramli, 31, mengakui pihaknya tiada pilihan. Sebab itulah dia  dan pengusaha jentuai lain terpaksa mengguna jalan raya bagi memindahkan jentera tersebut.

“Kebanyakan sawah padi terletak berhampiran jalan raya, manakala jalan ladang atau jalan kampung jauh di belakang menyebabkan kami tiada pilihan. Mahu atau tidak, terpaksa juga guna jalan raya biasa,” katanya. – BERNAMA

Google ads
Back to top button