
INILAH 10 LITAR PERLUMBAAN PALING BERBAHAYA DI DUNIA
Selama hampir seratus tahun sejarah dunia perlumbaan, para pengeluar jentera dan pelumba sentiasa mencabar kebolehan masing-masing dan teknologi sehingga melampaui batasan semata-mata untuk menghiburkan para penonton dan memenangi hadiah yang ditawarkan.
Enjin menjadi bertambah berkuasa begitu juga dengan kereta lumba yang menjadi semakin aerodinamik. Litar dan laluan perlumbaan telah diteroka dan dibuka di seluruh dunia. Daripada perlumbaan kereta touring ke Formula Satu ke World Rally Champioship. Malah banyak lagi perlumbaan yang menjadi semakin popular antaranya GP motosikal dunia, Dakar dan lain-lain.
BACA: JACKIE CHAN PERNAH LAKONKAN THNDERBOLT DI SHAH ALAM
Sudah tentu semua pihak yang terlibat dari penaja, pelumba, penonton dan penganjur mengetahui yang sebarang perlumbaan yang melibatkan jentera bergerak pantas adalah amat bahaya. Apatah lagi bila pelumba memecut jentera-jentera berkuasa turbo di atas laluan desa yang tidak berturap.
Dalam perlumbaan bukannya satu tetapi berpuluh-puluh buah kenderaan bersaing sesama sendiri untuk merebut kejuaraan. Semua pihak sedar akan risiko tetapi mereka bersedia menggadai nyawa untuk menontonnya. Kematian bukannya sesuatu yang asing dalam dunia sukan motor.
Apa yang menjadikan sesebuah perlumbaan itu berbahaya? Jawapannya memang banyak dan sukar untuk ditentukan yang mana satu. Mungkin disebabkan pemandu, jentera, cuaca ataupun litar perlumbaan itu sendiri.
Kali ini kami tampilkan untuk anda 10 laluan perlumbaan ataun litar yang paling berbahaya di dunia.
1. PERLUMBAAN TARGA FLORIO
Targa Florio adalah perlumbaan tahan lasak yang diadakan di Pulau Sicily, Itali dari tahun 1906 sehinggalah tahun 1977. Laluannya selalu berubah sejak dari mula diperkenalkan dan mencecah sepanjang 72 kilometer di atas jalan raya awam.
Pihak WRC turut mengatakan yang laluan ini terlalu berbahaya untuk jentera-jentera mereka yang mempunyai 300 bhp kuasa maksima dengan pacuan RWD.
Kelajuan purata yang mampu dicapai oleh pemandu di litar ini ialah sekitar 120 km/j sahaja.
9 pelumba telah terbunuh di litar ini yang sebenarnya lebih merupakan jalan raya awam merentasi kawasan pergunungan tanpa besi penghadang keselamatan.
2. CIRCUIT DE LA SARTHE
Kaki-kaki video game yang suka dengan Playstation mungkin mengenali litar ini yang terletak berhampiran dengan Le Man di Perancis.
Inilah juga litar yang menjadi tuan rumah perlumbaan Le Man 24 jam.
Ia dibangunkan sekitar tahun 1923 dan merupakan gabungan antara litar lumba sebenar dengan jalan raya awam.
Kemalangan biasanya berlaku di bahagian jalan raya awam. Bila jentera menjadi semakin laju dan berkuasa, kemalangan mula berlaku dengan mudah. Kelajuan purata mampu dicapai di litar ini ialah sekitar 300 km/j.
22 pelumba telah kehilangan nyawa di litar ini namun insiden yang paling teruk terjadi pada tahun 1955 di mana sebuah kereta lumba telah terbabas ke bahagian tempat duduk penonton dan menyebabkan kematian 85 orang penonton dan mencederakan 100 orang lagi.
Sejak itu ia telah diubahsuai dengan memperkenalkan had kelajuan untuk memperbaiki tahap keselamatan.
3. DAYTONA SPEEDWAY
Tuan rumah kepada perlumbaan Daytona 500, yang merupakan perlumbaan paling berprestij dalam siri NASCAR di Amerika Syarikat.
Beberapa perubahan telah dilakukan pada kereta agar lebih selamat (contohnya plat ataupun kelengkapan khusus untuk mengurangkan kelajuan kereta.
Litar lagenda ini telah menelan nyawa 36 pelumba dengan pelbagai insiden seperti perlanggaran biasa, masalah jantung dan kru-kru yang dilanggar oleh jentera perlumbaan.
Kemalangan paling diingati ialah kemalangan yang melibatkan Dale Earnhardt Sr., yang telah terbunuh pada pusingan terakhir Daytona 500 tahun 2001.
4. CIRCUIT DE SPA-FRANCORCHAMPS
Litar tuan rumah GP Belgium untuk siri Formula 1. Pada asalnya litar yang cukup mencabar ini mempunyai panjang maksima 15 kilometer. Ia kemudiannya diubah suai kepada laluan sepanjang 7 kilometer.
Walaupun semakin pendek litar ini masih merupakan antara litar paling berbahaya di Eropah dengan kombinasi selekoh, kawasan berbukit dan zon pecutan. Buktinya, sejak dibuka pada tahun 1921, 47 pemandu telah kehilangan nyawa mereka di litar ini.
5. AUTODROMA NAZIONALE MONZA
Lebih dikenali dengan nama litar Monza dan dibuka secara rasmi pada tahun 1922. Ia cuma sepanjang 5.8 kilometer tetapi mempunyai beberapa bahagian yang membolehkan pemandu membuat pecutan maksima.
Ini dibuktikan dengan jentera F1 yang pernah membuat rekod pecutan maksima 350 km/j sebelum di hadkan kepada 320 km/j. Semestinya kelajuan ini akan menyebabkan kemalangan yang tidak dapat diduga.
Untuk rekod, seramai 52 pemandu, seorang urusetia dan 35 penonton telah terbunuh di litar ini.
6. INDIANAPOLIS SPEEDWAY
Sejak tahun 1909, 56 orang pelumba telah terbunuh di litar Indianapolis Speedway. Litar berbentuk oval dengan dua laluan lurus yang panjang membolehkan memandu pada kelajuan maksima.
Pada peringkat awal kebanyakan kemalangan berlaku apabila kereta hilang kawalan dan mula berpusing. terbabas dan menyebabkan kematian. Kini kebanyakan kemalangan berlaku di selekoh bila kereta kehilangan cengkaman akibat enjin yang terlalu berkuasa.
Biasanya kemalangan ini akan berakhir di dinding penghadang ataupun menghentam kereta-kereta lain.
Kemalangan paling diingati ialah bila kereta Tony Renna hilang kawalan lalu terbabas dan melambung sebelum tersangkut pada bahagian pagar litar dalam tahun 2003.
7. NURBURGRING
Juara tiga kali F1, Jackie Stewart pernah menggelarkan litar ini sebagai litar paling berbahaya di dunia dengan 68 kematian semasa perlumbaan dan juga ujian masa.
Secara purata tidak rasminya, antara 3-12 orang pemandu terbunuh setiap tahun di litar ini. Litar telah banyak diubahsuai untuk manjadikannya lebih pendek dan selamat khususnya selepas kemalangan yang melibatkan kebakaran pada sekitar 70-an (seperti yang dapat anda saksikan dalam filem Rush).
BACA: 10 PERKARA PELIK TENTANG LITAR NURBURGRING
Bahagian paling popular di litar ini ialah bahagian utara ataupun North Loop, juga dikenali dengan nama Nordschleife. Ianya sepanjang 20 kilometer dengan 150 selekoh. Litar ini juga agak sempit dengan ketinggian yang berubah-ubah menyebabkan pemandu hilang kawalan dan terbabas.
8. PARIS-DAKAR RALLY
Juga dikenali dengan nama Dakar Rally, perlumbaan tahan lasak jarak jauh ini merangkumi segala bentuk muka bumi seperti jalanan berbatu, gurun, sungai, padang rumput dan sebagainya. Ia asalnya diadakan di benua Afrika tetapi pada stu ketika telah dipindahkan ke Amerika Selatan akibat ancaman pengganas.
Perjalanan perlumbaan yang mengambil jarak sejauh 800 kilometer juga menjadikan segalanya berkemungkinan buat para pelumba.
Lebih 30 orang pelumba telah terkorban dalam perlumbaan ini tidak termasuk 40 lagi korban yang terdiri daripada penonton, wartawan penyiaran dan petugas rasmi.
BACA: APAKAH YANG ANDA TAHU TENTANG DAKAR?
Selain kemalangan sewaktu perlumbaan, ancaman juga datangnya daripada periuk api yang dipasang puak pemberontak di kawasan bergolak dan serangan binatang buas.
9. BAJA 1000 (BACA BAHA OKEY)
Perlumbaan ini mengambil nama sempena tempat berlangsungnya acara iaitu di Semenanjung Baja di Mexico.
Inilah satu-satunya perlumbaan seumpamanya di mana anda mungkin ditembak, diculik ataupun dirompak sewaktu berlumba. Dengan kata lain kematian bukannya berpunca akibat dari kemalangan semata-mata.
Walaupun namanya Baja 1000, jarak perlumbaan tidaklah sampai mencecah seribu kilometer namun biasanya jarak bukan keutamaan para pelumba yang masing-masing menggunakan motosikal, kereta, trak dan juga buggy.
Mereka lebih sibuk dengan keadaan muka bumi yang dipenuhi periuk api, halangan dan lompatan yang memang sengaja dibuat oleh para penonton. Tak cukup bahaya lagi? Ancaman juga datangnya daripada kumpulan penjenayah tempatan dan kartel dadah yang akan menculik pelumba untuk wang tebusan.
10. ISLE OF MAN
Antara medan perlumbaan tertua dan menelan paling ramai nyawa, Isle of Man mempunyai sejarah yang cukup panjang.
Sejak dibuka pada tahun 1911, litar perlumbaan motosikal ini telah mengorbankan 240 orang pelumba dalam perlumbaan rasmi dan juga sesi ujian. Kelajuan juga merupakan salah satu faktor kerana rekod purata kelajuan yang boleh dicapai di litar ini ialah sekitar 200 km/j.
BACA: HELMET ARAI EDISI ISLE OF MAN TT
Faktor lain pula ialah keadaan litar itu sendiri yang sebenarnya merupakan jalan raya umum dan bukannya litar yang dibina khusus. Keadaaan permukaan litarnya juga tidak sekata selain selekoh tajam dengan kelebaran berbeza-beza.
Pada peringkat awal, litar ini tidak ditutup kepada kenderaan awam pada sesi ujian. Kemalangan yang berlaku akibat pertembungan kenderaan awam dengan jentera perlumbaan yang diuji selalu berlaku dan merupakan penyumbang kepada kematian pertama di litar.
Tetapi sehingga kini ia masih merupakan litar kebanggaan pelumba-pelumba motosikal untuk mencabar kemampuan diri.