Buletin

BUDAK LELAKI INI TUKAR TOYOTA CELICA TAHUN 1980 JADI KERETA ELEKTRIK

Pada usia 12 tahun, Adam Lansing mengambil keputusan untuk menukar sebuah kereta biasa menjadi kereta elektrik selepas melihat abangnya meminta wang untuk membeli petrol daripada bapa mereka.

Semangatnya semakin membara selepas menonton satu klip video di YouTube di mana seorang lelaki bernama John Wayland, menukar sebuah 1972 Datsun 1200 menjadi sebuah jentera drag berkuasa tinggi yang diberi nama “White Zombie.”

Enam tahun kemudian, Adam boleh berbangga memandu sebuah Toyota Celica yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

Projek itu bermula apabila seorang rakan bapanya terdengar bahawa Adam mahu menghasilkan kereta elektrik. Jadi dia memberi Adam sebuah Toyota Celica tahun 1980 yang sudah tidak berenjin.  

Adam mengambil masa selapas dua tahun untuk mendapatkan semua alat ganti yang diperlukan bagi merealisasikan modifikasinya. Dua tahun lagi diperlukan untuk memastikan kereta itu boleh bergerak tanpa sebarang masalah.

Remaja ini dilapor menghabiskan masa selama 20 jam sehari untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul.

“Banyak perkara yang membuatkan saya kecewa. Tetapi sokongan daripada keluarga, kawan-kawan dan teman wanita menguatkan semangat saya. Saya mesti capai matlamat ini,” kata Adam.

Kini berusia 18 tahun dan merupakan graduan sekolah menengah Plano East di Texas, Amerika Syarikat, Adam berbangga memandu kereta elektriknya sendiri yang menawarkan jarak perjalanan sejauh 209km dengan sekali caj.

Lebih menarik lagi, dia mendapat sokongan dan tajaan daripada pihak Core IV dan Plasma Boy Racing. Mereka membekalkan pek bateri lithium iron phosphate berkuasa 30kW yang diletakkan di dalam ruang kargo belakang.

Memandang ke hadapan, Adam sudahpun menubuhkan syarikat sendiri iaitu Hawkeye Innovations LLC. Dia berharap dapat menjana pendapatan dengan menukar kereta berenjin petrol menjadi kereta elektrik pada masa depan.

Google ads
Back to top button