BUGATTI PANGGIL BALIK CHIRON KERANA KESILAPAN TEKNIKAL – MAHAL BUKAN JAMINAN
Bugatti mungkin menghasilkan kereta paling eksklusif di dunia tetapi tahukah anda yang pemilik Chiron juga tidak dapat lari dari proses recall untuk membaikpulih kekurangan yang ada semasa proses pemasangan? Jadi jangan pelik kalau kereta anda terpaksa di bawa balik ke pusat servis untuk penggantian komponen tertentu, beg udara contohnya seperti yang dialami pemilik Honda baru-baru ini.
Kalau kereta semahal Chiron dengan tanda harga melebihi RM12 juta terpaksa dipanggil balik apatah lagi kereta-kereta biasa yang digunakan oleh kita setiap hari.
Bugatti baru-baru ini memaklumkan kepada pihak berkuasa US Auto Safety Regulators yang bertanggungjawab terhadap keselamatan kenderaan yang dipasarkan di AS yang mereka akan memanggil kembali beberapa buah Chiron yang dipasarkan bila mereka mengesan beberapa kesilapan pada braket tempat duduk hadapan.
Bagaimanapun syarikat yang bernaung di bawah kumpulan Volkswagen itu akan berusaha untuk menangani masalah tersebut dengan sebaik mungkin.
Sebagai tambahan kepada surat yang diutuskan kepada pemilik-pemilik Chiron di sana (sebagaimana peruntukan undang-undang AS yang mewajibkan pemilik dimaklumkan dengan surat rasmi), juruteknik Bugatti turut akan memaklumkan mereka dengan panggilan telefon.
BACA: SEBELUM VEYRON DAN CHIRON – BUGATTI PERNAH HASILKAN SUPERCAR MODEN
Mereka kemudian akan membawa Bugatti Chiron terbabit ke salah satu daripada 12 pengedar Bugatti di AS dengan menggunakan treler yang bertutup rapi untuk pemeriksaan.
Jika masalah kimpalan seperti dinyatakan ditemui, Bugatti akan menggantikan keseluruhan pemasangan tempat duduk terlibat tanpa sebarang kos seperti dinyatakan dalam notis yang dihantar kepada pemilik.
Sumber Bugatti menyatakan yang sejumlah 47 buah Chiron terlibat di seluruh dunia dengan 12 unit daripadanya berada di Amerika Utara. Selebihnya berada di bahagian lain dunia.
Nasib baik ini Bugatti Chiron dan jumlahnya pun boleh dikira dengan jari. Kalau kereta seperti Honda ataupun Toyota memang berpeluh ketiak la nak melakukan proses panggil balik ni. Kes beg udara Honda pun masih ada yang belum menukarnya walaupun percuma. Bukan orang lain, kawan Pak Amid sendiri pulak tu.