Buletin

24 PELUMBA KINI DIIKTIRAF – BAKAL BERSAING DALAM PERLUMBAAN JALANAN VIOS CHALLENGE

Berbekalkan kesungguhan serta kemahiran memandu yang dipelajari dan sijil kelayakan yang ditauliahkan oleh Toyota Racing Development (TRD) dari Jepun, seramai 24 orang pemandu perlumbaan kini telah tamat pengajian mereka di Sekolah Perlumbaan Vios Challenge.

Mereka kini telah bersedia untuk mempamerkan bakat dan pengalaman di dalam perlumbaan sulung Vios Challenge sempena Festival Toyota GAZOO Racing (TGR) pada 12 dan 13 Ogos di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang

24 pemandu telah diberi kursus pengenalan wajib di mana mereka mempelajari perkara asas seperti protokol keselamatan dan perlumbaan, teknik yang betul untuk mengendalikan kenderaan dan cara terbaik untuk mengekalkan garisan lumba.

Pelajar tersebut juga dibekalkan ilmu pengetahuan yang diperlukan bagi membolehkan mereka bersaing dengan selamat pada perlumbaan sulung bulan hadapan.

Antara pelajar yang telah menamatkan pengajian dan menerima sijil mereka daripada Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran Kurusamy ialah pelumba selebriti iaitu pelakon Fattah Amin, Diana Danielle, Shukri Yahaya dan Janna Nick, penyanyi Geraldine Gan dan Danny Koo, penulis blog Venice Min serta beatboxer Shawn Lee.

Turut menerima sijil yang sama ialah Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama yang akan menyertai para selebriti di dalam Kategori Promosi ketika perlumbaan Vios Challenge ini berlangsung.

Bercakap pada majlis pentauliahan itu, Ravindran percaya bahawa sukan permotoran adalah satu cara berkesan untuk membangunkan bakat manusia selain kemampuan jentera lumba. “Mencapai kejayaan di dalam litar perlumbaan adalah untuk mengetahui batas dan mencari keseimbangan diantara kedua-dua individu dan jentera lumba secara kolektif.

“Tiada komponen yang boleh melebihi antara satu sama lain. Dengan melengkapi semua pemandu ini kemahiran untuk berlumba, kami berharap mereka dapat memanfaatkan kelebihan dan potensi sebenar kereta lumba Toyota Vios dengan selamat dan secara bertanggungjawab ketika di dalam litar,” ujar beliau.

Bagi memastikan perlumbaan Vios Challenge ini dijalankan secara berkesan dan lebih selamat kepada semua pemandu selain memberikan pengalaman menonton yang lebih mengujakan kepada peminat sukan permotoran, Vios Challenge dibahagikan kepada tiga kelas perlumbaan.

10 pelumba akan bersaing di dalam Kategori Super Sporting, 17 pelumba lagi akan bersaing di dalam Kategori Sporting dan baki 10 orang pelumba akan menyertai Kategori Promosi

Setiap kategori akan mempunyai dua pusingan dengan mata akan diberikan bagi kedudukan tertinggi untuk setiap pusingan.

Kawasan di sekitar Stadium Batu Kawan direka khusus untuk menjadikannya sebagai litar dengan jarak 1.65km berdasarkan bentuk stereng lumba dengan arah pusingan jam. Litar buatan itu mempunyai sembilan selekoh dengan laluan lurus terpanjang merangkumi 156m dan mampu memberikan cabaran perlumbaan sebenar.

Festival berkenaan turut dibuka kepada umum secara percuma dengan pelbagai aktiviti lain seperti pertunjukan drift, trak makanan, sesi pandu uji dan penampilan istimewa model terbaru Toyota C-HR.

Google ads
Back to top button