Mungkin ramai yang tertanya-tanya status super kapcai Modenas 150cc yang sudah terlalu lama kita dengar akan dipasarkan. Lama sebelum Yamaha Y15ZR sampai dan Honda RS150R dilancarkan, malah ketika Benelli belum pun terfikir untuk berentap dalam segmen ini dengan RFS150i.
Realitinya, Modenas terlebih dahulu merancang pasaran ini berbanding pesaingnya yang lain. Jika tak silap kami, mereka sudah mulakan projek ini pada penghujung 2013, menghantar kakitangan R&D dan jurutera mereka ke sebuah Universiti di Austria untuk membangunkan enjin 150cc bagi kegunaan masa hadapan.
BACA: TEASER #1 MODENAS PAPAR IMEJ AWAL NS200 STREET BIKE
BACA: MODENAS BAKAL LANCAR 3 MODEL MEI INI
Enjin ini sudah siap sepenuhnya dan telah melalui fasa ujian makmal dan jalanan yang ekstensif. Menurut sumber kami, ia sebuah enjin 150cc dengan 16 kuasa kuda, paling tinggi dalam kategorinya. Enjin ini dibentangkan secara menegak dengan kepala selinder aci sesondol berkembar (DOHC), sejukan cecair, suntikan bahan api elektronik dan sistem transmisi enam kelajuan.
Ia juga dilengkapi brek angkup berkembar (Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R masih gunakan 1 omboh). Modenas turut melengkapkan bahagian roda belakang dengan brek cakera. Namun saiz roda belakangnya sedikit kecil – 110 berbanding 120 pada Yamaha dan Honda.
Bunyinya sangat menarik kan?
Tepat. Kerana itu juga Modenas perlu sangat berhati-hati dalam mempakejkan motosikal ini supaya ia dapat mengembalikan semula modal besar yang dilaburkan. Perlu diingatkan, ia adalah projek 100 peratus yang diilhamkan oleh Modenas dengan pembangunan yang mereka lakukan sendiri dari peringkat awal – tanpa melibatkan mana-mana kerjasama dengan syarikat lain.
Enjin yang bagus semestinya perlu digabungkan dengan reka bentuk cantik supaya ia mampu menarik pembeli. Apa yang menjadikannya lebih menarik, telah berlaku perubahan besar semasa dalam fasa pembangunannya.
Pada peringkat awal, kapcai ini direka dengan lampu utama di bahagian “dada” (seperti Modenas ACE). Namun atas keputusan tinjauan mereka mendapati pasaran sukar menerima rekaan sebegitu. Jadi, rombakan dilakukan semula dengan rekaan hasil akhir lampu di bahagian “kepala” seperti foto yang dikirimkan oleh pembaca kami.
KERANGKA TRELLIS
Motosikal ini juga satu-satunya dalam kategori 150cc yang direka dengan kerangka jenis “trellis”. Ya, ia direka menggunakan keranga “ala KTM” (semoga anda lebih mudah faham) berbanding jenis underbone kerangka “diamond” yang biasa kita lihat pada motosikal kapcai hari ini.
Ujian demi ujian terus dijalankan untuk memastikan bahawa setiap bahagian motosikal 150cc ini berfungsi dengan baik. Bukan sahaja reliabiliti enjin malah setiap bahagian plastik, kerangka dan komponen pada motosikal ini sentiasa diuji dan ditambah baik sebelum ia bersedia untuk pengeluaran sepenuhnya.
Masa terus berlalu…
Selain daripada super moped 150cc, pengurusan Modenas dalam beberapa tahun kebelakangan ini cukup agresif dengan penerokaan peluang baru dunia perniagaan motosikal. Justeru, mereka berjaya mendapat hak milik edaran dan penjenamaan semula Kymco. Jika anda masih ingat, Modenas melancarkan barisan skuter Elegan 250, Karisma 250 dan Kymco Downtown tahun lepas.
Kemudian, mereka memperkenalkan model gantian MR1 iaitu Kriss MR2 dan yang terbaru. Pada 19 Mei ini, rangkaian model Bajaj (RS200, NS200 dan V) akan dilancarkan. Kita boleh nampak bahawa syarikat permotoran nasional ini berada di landasan terbaik untuk terus bersaing dalam segmen motosikal yang semakin kompetitif.
PENYUSUNAN STRATEGI
Pelancaran model-model baru ini sudah tentu memerlukan Modenas menyusun semula strategi pemasaran mereka. Belum diketahui bila masanya super moped 150cc akan dilancarkan namun dengan apa yang mereka rancang untuk tahun ini kami percaya masanya semakin hampir.
Tiada maklumat sahih bila pelancarannya. Namun kami dapat sumber kukuh bahawa projek super moped ini tidak pernah dibatalkan pun. Sewaktu pelancaran MR2 bulan lepas, saya sempat bertanya sendiri kepada Ketua Pegawai Operasi Pengedaran Automotif, Pembuatan dan Kejuruteraan Automotif DRB-HICOM, Datuk Abdul Harith Abdullah.
“Setelah berbelanja berjuta-juta ringgit untuk projek untuk projek penting ini, adalah tidak logik untuk membatalkannya. Ia masih dalam jadual dan kami masih meneliti beberapa aspek pasaran penting. Anda tentu sedar, sewaktu kami merancang projek ini, dalam pasaran tiada produk serupa, namun hari ini telah berubah. Justeru itu, kami akan menyusun semula dan melancarkannya bila tiba masanya nanti.”
Ramai pembaca mahukan kepastian. Sejak tahun lepas, kami menerima banyak maklumat daripada sumber berbeza tentang projek Modenas. Kami juga kerap menerima soalan berkenaan projek 150cc ini apatah lagi terdengar khabar angin yang menyatakan ia dibatalkan.
Apa yang boleh kami simpulkan di sini, super moped 150cc ini akan dilancarkan juga. Berkenaan bila, sama-samalah kita tunggu. Jika kami dapat maklumat awal, kami akan beritahu, jangan bimbang!